X
Khamis, 8 Februari 2018 | 2:52pm
KETUA Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim melepaskan konvoi kenderaan motosikal dan kereta pasukan petugas Op Selamat di Majlis Pelancaran OP Selamat 12/2018 Sempena Tahun Baru Cina di Perkarangan RTC Napoh. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim melepaskan konvoi kenderaan motosikal dan kereta pasukan petugas Op Selamat di Majlis Pelancaran OP Selamat 12/2018 Sempena Tahun Baru Cina di Perkarangan RTC Napoh. - Foto Sharul Hafiz Zam

18 lokasi panas kemalangan di Kedah

CHANGLUN: Sebanyak 18 kawasan dikenal pasti lokasi panas kemalangan jalan raya di negeri ini menerusi Operasi Selamat ke-12 (Op Selamat 12) sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2018.

Kempen selama dua minggu bermula 9 Februari hingga 23 Februari ini mengekalkan tema `Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi' dengan memberi keutamaan di lokasi panas terbabit bagi mengurangkan kadar nahas jalan raya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata bagi mengurangkan kadar kemalangan tahun ini, seramai 1,488 membabitkan 192 pegawai dan 1,296 anggota polis kontinjen Kedah akan bertugas di seluruh daerah untuk memberikan tumpuan di setiap lokasi ditetapkan.

Katanya, lokasi tumpuan itu diberi keutamaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

"Kita juga akan bekerjasama dengan semua agensi seperti bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, di sini, hari ini.

Zainal berkata, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) juga akan meningkatkan rondaan di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

"Ini kerana ketika musim perayaan, RnR akan dipenuhi dengan mereka yang singgah untuk makan, minum dan sembahyang. Jadi, kita tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku.

"Jabatan lain seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga melancar operasi selama dua minggu supaya tidak ada elemen kongsi gelap, selain mengelak berlaku pecah rumah sepanjang musim perayaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Op Selamat 10, jumlah kemalangan menurun sembilan kes atau satu peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Sementara kemalangan maut berkurangan enam kes atau 30 peratus iaitu daripada 20 kes kepada 14 kes tahun lalu. Daripada jumlah itu, kes kematian berkurangan lapan kes atau 36 peratus iaitu daripada 22 kematian kepada 14 kematian.

"Penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal mendominasi angka kematian iaitu sebanyak 11 kematian secara keseluruhan ketika Ops Selamat 10," katanya.

Berita Harian X