MEMBAKUT: Hujan berterusan sejak awal pagi tadi, menyebabkan sembilan kampung di sini dilanda banjir.
Kawasan terbabit adalah Kampung Bambangan, Sinoka, Lumantak, Baitam, Lembah Poring, Sindok, Baiyam Laut, Jambatan Baru dan Kayai.
Walaupun semakin surut setakat jam 6 petang tadi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah merekodkan tahap sungai masih pada paras amaran.
Jurucakap APM Sabah dalam kenyataan malam ini berkata, laluan utama boleh dilalui semua jenis kenderaan setakat jam 6.25 petang tadi.
Sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan terjejas akibat banjir, bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.