Khamis, 1 Februari 2018 | 2:40pm
DATUK Othman Aziz menyerahkan benih kelapa matang kepada petani dari Parlimen Jerlun sempena Program Sumber Kekayaan Baharu Kelapa.- Foto Noorazura Abdul Rahman

Tribunal aduan bela pesawah

JERLUN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yakin kewujudan tribunal aduan pesawah mampu memberi jaminan membela nasib pesawah yang sering menjadi mangsa keadaan.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz, berkata tribunal yang dicadang ditubuhkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu akan menjadi medium terbaik untuk pesawah mendapat keadilan serta pampasan secara telus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya menyokong cadangan ini kerana sudah sampai masanya diwujudkan pihak ketiga (tribunal) yang dapat mendengar isi hati pesawah yang sering berdepan dengan potongan padi sehingga ada yang menjangkau 40 peratus.

"Mungkin kita faham ia dipotong kerana kualiti padi kurang memuaskan, namun dengan adanya tribunal ini, ia merungkai masalah petani dan penjelasan daripada pengilang," katanya selepas melancarkan Program Sumber Kekayaan Baharu Kelapa di Ayer Hitam di sini, hari ini.

Seramai 160 pesawah di Jerlun menerima 640 biji benih kelapa 'MATAG' daripada MADA dengan setiap pesawah menerima empat biji benih kelapa hibrid dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan yang akan ditanam di tanah masing-masing untuk menjana pendapatan tambahan, selain mengusahakan tanaman padi.

Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kementerian bercadang menubuhkan tribunal aduan untuk pesawah yang berhadapan masalah kadar pemotongan gred padi terlalu tinggi oleh pengilang sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Anggota tribunal itu akan disertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), pesawah yang dilantik PPK dan pengilang.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tribunal itu juga akan dapat membantu petani mendapat bekalan benih padi daripada pembekal yang sah berikutan terdapat kes benih kurang berkualiti diterima petani sehingga hasil tuaian berkurangan.

"Kes benih padi tidak berkualiti atau tidak sah ini menyebabkan padi angin, sekali gus menjejaskan pendapatan petani. Petani hanya akan tahu benih itu baik atau sebaliknya selepas pokok padi tumbuh iaitu kira-kira 100 hari.

"Dengan adanya tribunal ini, ia memantau dan mengesahkan benih padi itu tulen serta sah, selain tribunal dapat menyelesaikan masalah kelewatan penghantaran baja daripada pembekal sehingga proses menabur baja tidak dapat dilakukan pada waktu sepatutnya," katanya.

Othman berkata, pihaknya berharap kementerian akan melantik individu yang pakar dan berpengalaman dalam industri padi untuk mengendalikan tribunal terbabit, seterusnya dapat membuat keputusan adil berdasarkan fakta dan kebenaran.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, sebanyak 9,000 pokok kelapa MATAG akan dibekalkan kepada petani seluruh kawasan MADA bagi fasa pertama dan dianggarkan 1.2 juta biji kelapa dapat dikeluarkan pada tahun keempat penanaman dengan nilai mencecah RM2.4 juta.

"Kelapa MATAG ini dibekalkan kepada petani di kawasan MADA sebagai sumber kekayaan baharu. Ini kerana industri kelapa satu daripada industri penting negara, selain menyumbang kepada sosioekonomi negara khususnya bagi membasmi kemiskinan," katanya.

Berita Harian X