Isnin, 29 Januari 2018 | 9:11pm

Rapid KL lanjutkan tempoh LRT

KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan tempoh perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Gombak dan menyediakan perkhidmatan khas bas ulang-alik, menjelang perayaan Thaipusam, lusa.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini menyebut, stesen LRT Gombak yang menyediakan perkhidmatan tren menerusi jajaran LRT Kelana Jaya akan dibuka sehingga jam 2 pagi, Khamis ini.

Katanya, bagi perkhidmatan khas bas pula, ia akan beroperasi antara Batus Caves dan stesen LRT Gombak.

"Stesen monerel, Mass Rapid Transit (MRT) dan LRT yang lain akan beroperasi mengikut jadual biasa.

"Perubahan masa di LRT Gombak membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan terbabit sehingga jam 2 pagi dan keluar di mana-mana stesen LRT dan MRT.

"Kekerapan tren bergerak dari stesen Gombak  adalah setiap 30 minit selepas perkhidmatan tren mengikut jadual biasa tamat.

"Tempoh perkhidmatan tren di Ampang/laluan Sri Petaling dan MRT Sungai Buloh juga akan dilanjutkan untuk menampung perjalanan pengguna yang meningkat pada lewat malam.

"Perkhidmatan tren terbabit yang terakhir akan beroperasi dari Gombak di stesen integrasi Masjid Jamek dan Pasar Seni. Perkhidmatan tren itu beroperasi dengan kekerapan setiap 30 minit," katanya.

Sementara itu,  perkhidmatan bas ulang-alik khas antara Batus Caves dan stesen LRT Gombak  akan bermula esok.

Perkhidmatan bas bermula dari jam 4.30 petang, dengan kekerapan bas antara 10 minit hingga 15 minit dan berakhir pada jam 11 Rabu malam.

Tambang bas adalah RM2 untuk setiap perjalanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Prasarana berkata pengguna LRT digalakkan untuk menggunakan kad MyRapid Touch 'n Go (TnG) dan meletak kereta di kawasan kemudahan Park n Ride di sepanjang laluan LRT dan MRT untuk kemudahan perjalanan.

Pada masa sama, katanya, perkhidmatan bas Rapid KL akan beroperasi dengan kekerapan setiap 30 minit bergantung pada kesesakan lalu lintas.

"Tambang bas berkenaan juga adalah RM2. Kita juga ingin memberi peringatan kepada pengguna untuk peka terhadap perubahan perkhidmatan bas di sekitar Batu Caves dan Gombak  berikutan terdapat beberapa jalan ditutup oleh pihak berkuasa," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.myrapid.com.my.

Berita Harian X