Khamis, 25 Januari 2018 | 5:37pm
ANGGOTA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, menjalankan operasi mengesan premis makanan yang menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran di Jalan Pajam - Mantin. - Foto Adzlan Sidek

Premis makanan guna logo halal tanpa kebenaran

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri mengesan dua premis makanan di Jalan Pajam-Mantin di sini, menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata premis itu dikesan dalam pemeriksaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bermula jam 11 pagi sehingga 1.30 tengah hari tadi.

"Penggunaan sijil atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang dikeluarkan JAKIM sahaja. Menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang menyalahgunakannya.

"Oleh itu, kita mengambil tindakan menyita logo halal dipamerkan di dua premis itu bagi mengelak pengguna keliru seolah-olah premis itu mendapat pensijilan halal daripada JAKIM," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ain Arjuna berkata, kedua-dua pemilik restoran itu disiasat mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda sehingga RM250,000.

Berita Harian X