Rabu, 24 Januari 2018 | 3:39pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi. - Foto Balqis Jazimah Zahari

150 pelajar Guangzhou timba ilmu konservasi di Perak

IPOH: Seramai 150 pelajar sekolah dari Guangzhou, China, mengunjungi beberapa lokasi pelancongan di Perak bagi menimba ilmu berkaitan konservasi alam semula jadi.

Mereka yang tiba di ibu negara sejak Sabtu lalu, menghabiskan masa melancong sambil belajar selama empat hari di negeri ini melalui program bertema 'Cintai Bumi dan Memelihara Alam Sekitar'.

Rombongan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun itu dibawa ke pelbagai lokasi menarik yang kaya dengan budaya dan alam semula jadi di sekitar Pulau Pangkor, Kuala Sepetang serta perkampungan Orang Asli di Gopeng.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata program itu memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan memelihara alam semula jadi, sekali gus mengetengahkan Perak sebagai hab pelancongan pendidikan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, program itu bersesuaian produk ditawarkan di Perak dan Ipoh khususnya yang memang kaya dengan sumber alam untuk mempelajari ilmu konservasi alam semula jadi.

"Ini kali ketiga kita menerima kunjungan pelajar dari Guangzhou. Kali ini, mereka tinggal di Perak lebih lama berbanding kunjungan sebelum ini.

"Kita akan memperbanyakkan program bersama mereka pada masa depan bagi memperkenal lokasi baharu untuk mengetengahkan Perak sebagai hab pendidikan, terutama kepada pelajar antarabangsa yang datang melancong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kunjungan rombongan pelajar terbabit di taman tema air Lost World of Tambun (LWOT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Zuraida Md Taib, dan Pengarah Urusan GIT Tours & Travels Sdn Bhd, Cindy Seow Chooi Ling.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan pelancong dari Guangzhou yang ada banyak persamaan dengan bandar ini.

Katanya, kerajaan negeri juga mahu meningkatkan peserta pelancongan pendidikan dari Asia Barat dan Eropah tahun ini.

"Ketika ini, kita menerima banyak kunjungan berbentuk pelancongan pendidikan dari negara Asia, iaitu China, Jepun, Taiwan, Singapura dan Indonesia

"Oleh itu, tahun ini kita akan cuba meningkatkan kerjasama pelancongan pendidikan dengan negara Eropah dan Asia Barat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 8.8 juta pelancong ke Perak tahun ini, meningkat 10 peratus berbanding lapan juta yang disasarkan tahun lalu.

Berita Harian X