Rabu, 24 Januari 2018 | 7:31am

80,000 penduduk Kuantan alami gangguan bekalan air

KUANTAN: Gangguan bekalan air membabitkan kira-kira 80,000 akaun di beberapa kawasan di daerah ini dijangka akan berlarutan selewat-lewatnya dua minggu lagi berikutan proses pembaikan tambakan sungai yang pecah.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Nurul Farhana Abdul Hamid, berkata, masalah berlaku sejak jam 10 pagi Isnin lalu.

Masalah berpunca daripada tambakan sungai pecah menyebabkan paras air Sungai Kuantan di Muka Sauk Kobat menurun secara mendadak sehingga mengakibatkan keupayaan loji mengepam air terjejas.

"Pemulihan bekalan bergantung kepada kerja pembaikan tambakan sungai dijangka akan mengambil masa satu hingga dua minggu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kawasan yang terbabit adalah seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor termasuk Bandar Damansara, Taman Datuk Rashid, Jeram, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating, Kawasan Perindustrian Gebeng dan kawasan sekitarnya.

"Turut terjejas, seluruh kawasan Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Polisas, kawasan perumahan Semambu, kawasan Industri Semambu, seluruh kawasan Jalan Tengku Muhammad, Pejabat Ukur dan Pemetaan, Jalan Beserah, kawasan Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya, Jalan Teluk Sisek, Teluk Chempedak, Istana Mahkota Teluk Sisek, Tanjung Api dan kawasan sekitarnya.

"Masalah sama dihadapi penduduk di kawasan perumahan Indera Mahkota 1 hingga 16, Kampung Tiram, Kawasan Industri Indera Mahkota termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan," katanya lagi.

Beliau berkata, kawasan lain yang terbabit ialah seluruh Jalan Sungai Lembing dari Taman Impianku, Kampung Padang sehingga Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong termasuk Batu Sawar dan Bukit Kuin , Bukit Goh, Bukit Goh Perdana serta kawasan sekitarnya.

"Turut terjejas seluruh kawasan perumahan dan perniagaan di Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad, Galing Besar, Galing Kecil, Galing Kem, Setali, seluruh Jalan Bukit Sekilau, Taman Bukit Ubi, Taman Fairmount, Bukit Bayrout, Jalan Bukit Setongkol, Cenderawasih, Jalan Pintasan Tanah Putih - Bukit Setongkol dan Kampung Paya 3.

"Seluruh Kawasan Jalan Haji Junid, Jalan Darat Makbar, Jalan Kampung Tengah, Kg Tengah, Jalan Kg Jawa, Kg Jawa, Sri Teruntum, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Kemunting, Pasar Borong Tanah Putih, LKIM, MPK, HTAA serta kawasan sekitarnya turut mengalami tekanan rendah dan putus bekalan," katanya.

Beliau berkata, seluruh kawasan Jalan Mahkota, Jalan Bank, Jalan Abdul Aziz, Jalan Besar, Jalan Tun Ismail, Jalan Gambut, Jalan Bukit Ubi, Seluruh Kawasan Bandar, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) juga mengalami masalah ini.

"Pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan pihak kami turut menyediakan lori tangki kepada pengguna di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air," katanya.

Berita Harian X