Isnin, 22 Januari 2018 | 3:32pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Prof Datuk Dr. Mohd Yusof Kasim (kiri) pada Program Lestari Modal Insan Koperasi di Kota Kinabalu. Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Umar Sarin Saidin (kanan). - Foto Ihsan Pejabat Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Prof Datuk Dr. Mohd Yusof Kasim (kiri) pada Program Lestari Modal Insan Koperasi di Kota Kinabalu. Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Umar Sarin Saidin (kanan). - Foto Ihsan Pejabat Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah

Koperasi di Sabah terus cemerlang

KOTA KINABALU: Koperasi di Sabah mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan keseluruhan modal syer direkodkan ialah RM56.35 juta, manakala modal yuran sebanyak RM113.26 juta dan pemilikan aset bernilai RM774.48 juta, sehingga tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, sehingga 29 Disember 2017 sebanyak 1,443 koperasi telah ditubuhkan dengan jumlah anggota seramai 318,891 orang.

Melihat kepada perolehan 2016 iaitu RM323,862,445, beliau berharap berlaku peningkatan perolehan lebih memberangsangkan bagi 2017.

"Saya turut dimaklumkan purata pertumbuhan pendapatan koperasi bagi tempoh lima tahun lalu adalah pada kadar tiga peratus. Walaupun bukan besar, ia memberi nilai positif terhadap pertumbuhan pendapatan koperasi di negeri ini.

"Bagi pihak kerajaan Sabah, banyak ruang dan peluang telah diberi dalam usaha menggalakkan koperasi menjadi penggerak utama ekonomi rakyat secara inklusif dan sejahteraan dalam pelbagai cabang perniagaan.  

"Ini terbukti apabila ekonomi negeri berada dalam kedudukan kelima tertinggi berbanding negeri lain. Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga dijangka meningkat pada kadar lima hingga 5.5 peratus pada tahun 2018," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan Program Lestari Modal Insan Koperasi: 'Kerjasama Asas Amalan Koperasi' sempena Promosi Program Latihan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah MKM, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Kasim serta Pengarah SKM Negeri Sabah, Umar Sarin Saidin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, menjadi harapannya agar MKM Zon Sabah dapat meneruskan agenda pembangunan modal insan sepanjang hayat dan berkeupayaan membantu membina gerakan koperasi, khususnya generasi muda lebih kompeten dan berdaya saing.

"MKM juga diharap melahirkan lebih ramai golongan muda dalam profesion gerakan koperasi seiring dengan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 dan Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.

Berita Harian X