Rabu, 17 Januari 2018 | 9:13pm
Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang, Hasjun Hashim (kiri) menunjukkan ciri wang kertas tulen kepada peniaga pasar malam Changlun, Faizah Ismail, 54. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang, Hasjun Hashim (kiri) menunjukkan ciri wang kertas tulen kepada peniaga pasar malam Changlun, Faizah Ismail, 54. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Peniaga didedah cara kenal pasti wang palsu

SINTOK: Bagi mengelak orang ramai terus ditipu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil inisiatif berkongsi cara mengenal pasti wang kertas palsu dan tulen bersama peniaga dan pengunjung di pasar malam Changlun di sini, hari ini.

Ketua Pejabat BNM Pulau Pinang, Hasjun Hashim, berkata peniaga pasar malam lebih terdedah kepada penipuan itu berikutan penglihatan mereka kurang jelas di waktu malam selain kekangan masa untuk mereka mengenal pasti wang kertas palsu.

"Walaupun kes ini sangat rendah dan terpencil, BNM perlu memastikan kumpulan sasaran ini mendapat ilmu dan sentiasa berhati-hati bagi mengelak mereka menerima wang kertas palsu.

"Mungkin ada yang akan mengambil kesempatan membeli menggunakan wang palsu di pasar malam, ini berikutan mereka tahu peniaga tidak sempat meneliti wang yang diterima kerana sibuk membungkus makanan dan melayan pelanggan...sekiranya mereka terima wang palsu, laporan polis perlu dilakukan segera agar siasatan dapat dijalankan bagi mengelak lebih ramai pengguna ditipu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendidikan Mata Wang dan Kempen Kesedaran Orang Ramai BNM di pasar berkenaan, petang tadi.

Semasa program itu, penjaja dan pengunjung pasar malam didedahkan dengan ciri keselamatan wang kertas Malaysia yang paling terkini.

Hasjun berkata, terdapat 10 ciri keselamatan yang dimasukkan ke dalam semua wang kertas negara antaranya dapat dikenal pasti dengan merasa, melihat, sendeng dan periksa.

"Bagi program ini yang turut akan diperluaskan di pasar lain, kami akan melakukan demontrasi kepada penjaja dan pengunjung untuk mengenal pasti wang tulen selain mengedarkan risalah pendidikan kepada mereka.

"Selain itu menerusi wang kertas siri empat, BNM juga memperkenalkan aplikasi mobile My Ringgit yang mampu mengimbas 10 ciri wang kertas tulen," katanya.

Peniaga pasar malam, Faizah Ismail,54, menunjukkan wang kertas yang terkoyak yang diterimanya ketika berniaga di pasar malam Changlun. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Peniaga pasar malam, Faizah Ismail,54, menunjukkan wang kertas yang terkoyak yang diterimanya ketika berniaga di pasar malam Changlun. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Seorang peniaga makanan, Faizah Ismail, 54, berkata dia belum pernah menerima duit palsu sejak 12 tahun berniaga di pasar malam itu, kecuali wang kertas yang terkoyak menyebabkan dia terpaksa menyimpan wang itu sebelum membuat pertukaran di BNM.

"Program seperti ini sangat bagus kepada kami supaya kami dapat mengenal pasti wang kertas palsu atau tidak...wang palsu sebenarnya mudah untuk dikesan berikutan kertasnya yang kurang berkualiti di samping warnanya yang pudar," katanya.

Berita Harian X