Sabtu, 6 Januari 2018 | 1:08pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim melawat kawasan banjir sekitar kampung di daerah Membakut. - Foto Rafiqah Dahali
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim melawat kawasan banjir sekitar kampung di daerah Membakut. - Foto Rafiqah Dahali

Cadangan bina dewan baharu di Membakut dikaji

BEAUFORT: Cadangan penduduk supaya sebuah dewan serbaguna baharu dibina di daerah ini, antara lain dijadikan pusat pemindahan sementara ketika musim banjir akan dibawa kepada perhatian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata beliau juga akan memanjangkan cadangan itu untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membolehkan pembinaannya dilaksanakan.

"Penduduk meminta dewan kekal baharu dibina di Membakut untuk pelbagai kegunaan, termasuk menempatkan mangsa banjir.

"Dewan yang ada sekarang mencukupi (untuk menempatkan mangsa banjir), namun bila kita buat penghadang, jadi sempit sedikit.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim melawat kawasan banjir sekitar kampung di daerah Membakut. - Foto Rafiqah Dahali
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim melawat kawasan banjir sekitar kampung di daerah Membakut. - Foto Rafiqah Dahali

"Bagaimanapun, walaupun sempit ia selesa kerana semua (keluarga) ada ruang masing-masing," katanya kepada media selepas mendengar taklimat banjir di daerah kecil Mambakut yang masuk hari keempat hari ini di Dewan Serbaguna Membakut di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pegawai Daerah Beaufort, Othman Shaid.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menyediakan dua bot untuk kegunaan daerah ini untuk kegunaan ketika banjir dan pihaknya akan mengkaji jenis bot yang bersesuaian dengan keperluan penduduk serta keadaan sungai.

"Kita juga meluluskan serta-merta permohonan untuk membaiki tandas dan dapur, selain menyediakan kemudahan seperti kipas untuk keselesaan mangsa banjir yang ditempatkan di sini (Dewan Serbaguna Membakut).

"Selain itu, tangki air untuk kemudahan air bersih juga saya sudah meminta Pegawai Daerah menguruskan pembeliannya secepat mungkin," katanya.

Beliau turut meminta pengurusan pusat pemindahan banjir supaya memastikan keperluan makanan sentiasa mencukupi, bukan sahaja untuk mangsa banjir malah petugas daripada pelbagai agensi yang terbabit.

Setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Membakut ialah 637 orang daripada 221 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Serbaguna Membakut, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick dan Bangunan KAFA Membakut.

Sebanyak 26 kampung masih terjejas akibat dinaiki air susulan limpahan Sungai Membakut, namun keadaan cuaca yang cerah membolehkan enam daripada sembilan jalan yang terputus akibat dinaiki air, sudah boleh dilalui semula hari ini.

Tiga jalan yang masih tidak boleh dilalui ialah Jalan Kampung Brunei, Jalan Kampung Kapas dan Jalan Kampung Baitam.

Berita Harian X