Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:27am
ANGGOTA bomba memindahkan beberapa penduduk yang dilanda banjir, di Kampung Baitam, di Membakut. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba memindahkan beberapa penduduk yang dilanda banjir, di Kampung Baitam, di Membakut. - Foto ihsan bomba

Mangsa banjir di Membakut meningkat

BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir di daerah kecil Membakut di sini, meningkat kepada 626 orang daripada 218 keluarga setakat jam 7.40 pagi ini, berbanding 566 orang membabitkan 196 keluarga, malam tadi.

Mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara iaitu Dewan Serbaguna Membakut, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick dan Bangunan KAFA Membakut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata sebanyak 26 kampung terjejas akibat dinaki air susulan limpahan Sungai Membakut.

Katanya, lapan jalan terputus akibat banjir iaitu Jalan Kampung Sinoko, Jalan Kampung Baitam, Jalan Kampung Lumantak, Jalan Kampung Bambangan, Jalan Kampung Papas, Jalan Balai Polis Membakut, Jalan Kampung Jambatan Baru dan Jalan Kampung Poring.

"Bomba Beaufort mengerahkan 17 pegawai dan anggota bersama tiga bot, sebuah lori, empat pecuan empat roda serta dua jentera bagi membantu memindahkan mangsa banjir.

"Anggota bomba turut membantu di pusat pemindahan serta memantau keadaan kawasan kampung yang terjejas," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, cuaca pagi ini cerah namun pihak berkuasa sedia membuka Dewan SMK Membakut II sebagai pusat pemindahan jika ada lagi pertambahan mangsa banjir.

Berita Harian X