Khamis, 4 Januari 2018 | 5:29pm

24 saman plat kereta 'fancy'

MELAKA: Sejumlah 24 daripada 156 saman yang dikeluarkan polis dalam Ops Bersepadu di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini, hari ini, adalah atas kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Dalam operasi tiga jam bermula jam 10 pagi itu, sebanyak 19 saman lagi dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan gagal membawa lesen memandu (16 saman).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata sebanyak 250 kenderaan diperiksa dalam operasi membabitkan polis trafik daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah itu.

"Polis memandang serius penggunaan nombor plat 'fancy' yang semakin berleluasa dan tidak mengikut spesifikasi dibenarkan pihak berkuasa.

"Jumlah saman yang dikeluarkan bagi kesalahan ini cukup tinggi, berbanding kesalahan lain, termasuk cermin gelap, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu," katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang penunggang motosikal selepas didapati mempunyai rekod waran tangkap di Alor Gajah.

Selain polis, operasi turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

ANGGOTA polis memeriksa kenderaan pada sekatan jalan dalam Ops Bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan pada sekatan jalan dalam Ops Bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X