Khamis, 4 Januari 2018 | 4:37pm
KEADAAN di Taman Negara Kuala Tahan yang mula dinaiki air berikutan hujan berpanjangan sejak dua hari lalu. - Foto Nazirul Roselan
KEADAAN di Taman Negara Kuala Tahan yang mula dinaiki air berikutan hujan berpanjangan sejak dua hari lalu. - Foto Nazirul Roselan

Keluar awal dari Taman Negara elak terperangkap banjir

JERANTUT: Seramai 30 pelancong asing di Mutiara Taman Negara Resort diminta keluar awal dari pusat pelancongan itu bagi mengelak terperangkap dalam banjir berikutan air Sungai Tembeling semakin meningkat.

Pengurus Pelanggan Mutiara Taman Negara Resort, Sabri Abdullah, berkata laporan Jabatan Pengairan dan Saliran ketika ini mendapati paras air Sungai Tembeling menghampiri paras bahaya 64 meter.

"Kita tidak mahu pelancong asing terkandas seperti banjir 2014 kerana resort ini terletak dalam kawasan Taman Negara. Pelancong terpaksa menyeberangi Sungai Tembeling yang deras airnya dan berbahaya kepada keselamatan.

"Tahun lalu, seramai 96 warga asing terkandas di resort ini kerana tidak dapat keluar akibat air sungai yang deras," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sabri berkata, pihaknya turut memulangkan semula bayaran penginapan kepada pelancong asing termasuk dari United Kingdom, Perancis dan Belanda yang mahu menginap di resort itu antara dua hingga tiga malam.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Tahan, Wan Termizi Wan Said turut menasihatkan pelancong yang menginap di chalet penduduk tempatan supaya keluar dari Taman Negara.

"Kami bimbang keselamatan mereka dan risiko terputus hubungan akibat banjir. Setakat ini, ramai juga pelancong keluar dari kawasan berkenaan dengan bas kerana jalan masih boleh dilalui," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X