Khamis, 4 Januari 2018 | 3:04pm
AG Duat Abdullah (kiri) bersama isterinya, Nauyah Narudin dipindahkan ke Dewan SM St Patrick, Membakut selepas rumah mereka ditenggelami banjir. - Foto Mohd Nazllie Zainul
AG Duat Abdullah (kiri) bersama isterinya, Nauyah Narudin dipindahkan ke Dewan SM St Patrick, Membakut selepas rumah mereka ditenggelami banjir. - Foto Mohd Nazllie Zainul

'Bimbang rumah dinaiki air'

BEAUFORT: "Saya dan isteri tidak dapat tidur nyenyak susulan hujan berterusan sejak Selasa lalu kerana rumah kami terletak berhampiran Sungai Membakut. Saya bimbang berlaku banjir kerana hanya kami berdua tinggal di sini," kata Ag Duat Abdullah, 79.

Ketika di temui BH di pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Menengah (SM) St Patrick, Ag Duat berkata, dia dan isterinya, Nauyah Narudin, 61, yang tinggal di Kampung Baitam, diselamatkan anggota bomba kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

"Saya hanya tinggal berdua dengan isteri di rumah kerana dua anak lelaki kami bekerja di kilang getah di Tuaran. Ini banjir kali pertama pada tahun ini selepas dua banjir berlaku pada pertengahan bulan lalu.

"Banjir kali ini juga lebih dalam kerana saya melihat hanya tinggal kira-kira dua 0.05 meter lagi paras air mencecah lantai rumah kami walaupun kediaman kami jenis rumah kayu bertiang, tengah hari semalam.

"Saya bersyukur kerana kami dapat dipindahkan ke pusat pemindahan ini dengan segera," katanya sambil menambah kampung mereka cepat dinaiki air sekiranya hujan berlarutan selama sejam.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Membakut terus meningkat kepada 555 orang setakat jam 12 tengah hari ini berbanding 489 orang pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata bilangan keluarga meningkat kepada 194 berbanding 173 keluarga pagi tadi, yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Serbaguna Membakut dan di Dewan Sekolah (SM) St Patrick, Membakut.

Bagaimanapun, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut ll sedia digunakan sebagai pusat pemindahan sementara sekiranya jumlah penduduk terjejas banjir semakin bertambah.

Berita Harian X