Rabu, 3 Januari 2018 | 12:43pm
Bot kargo yang membawa muatan kelapa dari Indonesia separuh karam dan tersadai di hadapan Pulau Tenggol, Terengganu. - Foto ihsan APMM

Bot kargo bawa kelapa, hampir karam

DUNGUN: Lapan warga Indonesia berdepan detik cemas apabila terpaksa berenang menyelamatkan diri ke Pulau Tenggol di sini, selepas bot kargo membawa muatan 340 metrik tan kelapa mengalami kerosakan dan hampir karam di kawasan perairan ini.

Bot kargo yang bertolak dari Tambilahan, Riau, Indonesia, Sabtu lalu dan dalam perjalanan menghantar kelapa ke Narathiwat, Thailand mengalami kerosakan pada sistem mesin pam air, jam 2 pagi semalam, ketika bot berada sekitar 13 batu nautika daripada Pulau Tenggol.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kapten Rahim Ramli, berkata masalah itu menyebabkan bot berkenaan tidak dapat mengeluarkan air laut yang memasuki bot.


Seorang jurumudi dan tujuh awak-awak selamat setelah bot kargo yang membawa muatan kelapa dari Indonesia separuh karam dan tersadai di hadapan Pulau Tenggol, Terengganu. - Foto ihsan APMM

"Jurumudi berusia 56 tahun dan tujuh kru bot berusia antara 20 hingga 56 tahun berusaha membaiki pam namun gagal, menyebabkan bot itu hanyut dan separuh tenggelam di hadapan Pulau Tenggol, jam 9 pagi semalam.

"Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pulau Tenggol dan diberi perlindungan sementara oleh pemilik resort di pulau itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian daripada pemilik resort berkenaan, kemudian ke lokasi untuk mengambil mangsa.

"Semua mangsa kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada pemilik resort berkenaan yang prihatin dan membantu mangsa sehingga bantuan Maritim Malaysia tiba," katanya.

Berita Harian X