Sabtu, 30 Disember 2017 | 9:39am
TINJAUAN pembangunan yang dijalankan di Forest City, Gelang Patah. - Foto Khairull Azry Bidin
TINJAUAN pembangunan yang dijalankan di Forest City, Gelang Patah. - Foto Khairull Azry Bidin

Johor nikmati limpahan ekonomi

JOHOR BAHRU: Pelbagai projek mega dalam pelbagai peringkat pembinaan di selatan tanah air, diunjur menyumbang limpahan ekonomi secara berterusan kepada Johor untuk beberapa tahun akan datang.

Antara projek terbabit ialah Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang bakal menjadi penanda aras baharu pengangkutan awam berteknologi tinggi di tanah air.

Projek yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu bakal memendekkan tempoh perjalanan darat kepada 90 minit, berbanding lapan jam menaiki kereta api atau empat jam sekiranya berkereta atau bas, selain menawarkan alternatif kepada perjalanan udara.

Selain itu, tujuh stesen yang akan dibina di Malaysia serta satu di Singapura dijangka memberi manfaat sosioekonomi kepada masyarakat sekitar termasuk menaikkan taraf hidup mereka.

Sepanjang tahun ini, HSR mencatatkan beberapa pencapaian antaranya penyiapan cadangan jajaran HSR bagi proses pameran pemeriksaan awam, selain bermulanya proses mencari serta melantik Rakan Pelaksana Projek yang akan bertanggungjawab membangunkan reka bentuk terperinci bagi kerja infrastruktur merangkumi stesen dan struktur penjajaran termasuk jambatan, terowong dan tambak di Malaysia.

Satu lagi projek mega yang mendapat perhatian umum ialah Forest City yang kini memasuki fasa kedua pembangunan dengan pelancaran Forest City Golf Resort bulan lalu.

Resort itu bakal mempunyai tiga padang golf bertaraf antarabangsa selain hotel bertaraf lima bintang dan kediaman bercampur termasuk pangsapuri serta vila, dengan nilai pembangunan keseluruhan dianggar RM1.8 bilion.

Fasa dua Forest City membabitkan keluasan 10 kilometer persegi yang meliputi satu pertiga daripada keseluruhan kawasan pembangunan projek mega itu termasuk Forest City Golf Resort dan Pangkalan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Projek mega berkenaan yang akan mengambil masa 20 tahun, dijangka mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan bagi rakyat setempat, selain membawa limpahan ekonomi untuk pelbagai sektor di negeri ini.

Dalam pada itu, Johor turut dirundung duka apabila lapan remaja berbasikal maut dirempuh sebuah kereta pada Februari lalu, beberapa jam selepas berakhirnya sambutan 'Chingay' di bandar raya ini.

Mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun itu ialah sebahagian daripada remaja yang menunggang basikal diubah suai dikenali basikal lajak.

Kejadian awal pagi 18 Februari di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah itu turut menyebabkan lapan lagi cedera.

Insiden itu membawa perhatian rakyat di seluruh negara kepada isu kumpulan remaja menunggang basikal lajak pada awal pagi dan sering dilaporkan sebagai 'nakal' serta menunggang secara melulu, di beberapa jalan raya yang sibuk di bandar raya ini.

Kegiatan berbahaya itu seperti tiada noktah apabila pelbagai operasi yang dijalankan termasuk tangkapan dan serbuan oleh pihak berkuasa dilihat tidak mampu mengekang sepenuhnya kegiatan itu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 13 operasi terhadap basikal lajak dijalankan dengan 91 basikal disita dan 31 saman dikeluarkan di bawah Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959 (atas kesalahan ubah suai, tiada brek dan loceng).

Selain Johor Bahru, beliau berkata, daerah lain yang turut menjadi tumpuan kumpulan basikal lajak ialah Kulai, Kluang, Segamat dan Pontian.

Kegiatan remaja terbabit mendorong sukarelawan yang menggelarkan diri mereka 'Happy Riders' mengambil inisiatif memberi kesedaran kepada kumpulan remaja ini selain membantu mereka membuat pengubahsuaian semula basikal masing-masing agar memenuhi spesifikasi keselamatan.

Tindakan sukarelawan ini harus dipuji kerana pembanterasan kegiatan basikal lajak tidak terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata, ataupun remaja terbabit dan ibu bapa mereka tetapi juga masyarakat keseluruhannya, agar tragedi 18 Februari itu dapat dibendung daripada berulang. - BERNAMA

Berita Harian X