Selasa, 26 Disember 2017 | 2:41pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (tengah) bergambar bersama penganjur Taiping International Flag Marathon 2018 (TIFM 2018) pada sidang media mengenai program itu di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis jazimah Zahari
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (tengah) bergambar bersama penganjur Taiping International Flag Marathon 2018 (TIFM 2018) pada sidang media mengenai program itu di Ipoh, hari ini. - Foto Balqis jazimah Zahari

Lebih 3,000 peserta dijangka sertai TIFM 2018

IPOH: Lebih 3,000 peserta dijangka menyertai program antarabangsa Taiping International Flag Marathon 2018 (TIFM 2018) di Dataran Warisan Taiping pada 4 Mac tahun hadapan.

Program julung kali dianjurkan oleh Tan Tze Ray, Baldman Sports Enterprise dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Tourism Perak itu bakal disertai peserta dari England, Singapura, Taiwan, Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata peserta bakal beraksi dalam lima jenis larian membabitkan 15 kategori.

Katanya, kategori dipertandingkan termasuk lelaki dan wanita terbuka, lelaki dan wanita veteran dan kanak-kanak bagi jarak antara lima hingga 42 kilometer.

"Saya mengalu-alukan penyertaan seluruh golongan masyarakat, tambahan pula laluan dipilih oleh pihak penganjur sangat menarik dan tidak mencabar fizikal kerana larian ini bertujuan menggalakkan aktiviti rekreasi, bersantai dan mempromosikan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mengenai program itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Arif dan penyelaras TIFM 2018, Kary T.

Nolee Ashilin berkata, Taiping dipilih sebagai lokasi acara kerana keunikan dan keindahan alam semula jadi bandar itu selain bersesuaian dengan konsep acara yang turut berunsurkan pelancongan.

Sementara itu, Kary berkata orang ramai masih boleh mendaftar untuk menyertai larian itu sehingga tarikh tutup pertandingan pada 31 Januari depan.

Katanya, mereka yang berminat menyertainya boleh mendaftar secara atas talian di laman sesawang https://event.howei.com atau http://www.racexasia atau menghubungi 017-4775338 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berita Harian X