Isnin, 25 Disember 2017 | 2:18pm

Waspada laut bergelora

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengingatkan komuniti maritim di Sabah dan Sarawak supaya berwaspada berikutan amaran Jabatan Meteorologi berhubung angin kencang dan laut bergelora di perairan kedua-dua negeri serta Labuan.

Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, berkata angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak sehingga setinggi 4.5 meter adalah berbahaya kepada semua aktiviti di laut.

"Ia sangat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil dan semua aktiviti rekreasi laut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Angin kencang dan laut bergelora ketika ini dilaporkan berlaku di perairan Condore, Terumbu Utara, Labuan dan Layang-Layang dan ia dijangka berterusan sehingga Rabu ini.

Syed Zahiruddin juga mengingatkan supaya semua kejadian yang tidak diingini di laut sekiranya berlaku, dimaklumkan kepada agensi yang berkaitan secepat mungkin supaya tindakan pantas dan berkesan boleh diambil.

Berita Harian X