Ahad, 24 Disember 2017 | 10:20am
PENGARAH Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz. - Foto Mohd Adam Arinin
PENGARAH Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz. - Foto Mohd Adam Arinin

Cuaca buruk sukarkan cari 2 pemancing hilang

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mengalum sejak enam hari lalu berdepan halangan cuaca buruk.

Pengarah Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim (DM) 15, Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz, berkata setakat ini belum ada petunjuk berhubung kehilangan mangsa.

Bagaimanapun, katanya usaha pencarian masih diteruskan termasuk mendapatkan kerjasama komuniti maritim.

Beliau berkata, aset Maritim Malaysia yang menjalankan rutin rondaan harian di perairan pantai barat negeri ini juga sudah dimaklumkan supaya meneruskan pencarian di sektor rondaan masing-masing.

"Berdasarkan maklumat daripada tujuh pemancing yang terselamat dalam kes bot pancing hanyut, dua pemancing berkenaan sudah enam hari hilang dan pihak Maritim Malaysia belum menemui apa-apa tanda yang mangsa dapat ditemui berdasarkan keadaan cuaca sekarang," katanya, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Maritim Malaysia menemui tujuh pemancing, masing-masing seorang terapung di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, manakala enam lagi di Pulau Mantanani Kecil selepas berenang kira-kira 11 jam dari bot pancing yang rosak enjin.

Berdasarkan maklumat daripada mangsa yang selamat, dua rakan mereka dilaporkan hilang selepas sampan kecil mereka naiki dipukul ombak kuat ketika cuba mendapatkan bantuan pada Isnin lalu.

Sembilan pemancing berkenaan keluar memancing di perairan Pulau Mengalum pada Ahad lalu dari Pulau Gaya, di sini.

Bagaimanapun enjin bot mereka rosakan sebaik tiba di perairan Pulau Mengalum dan hanyut kira-kira 100 kilometer hingga ke perairan Pulau Mantanani, Kota Belud sebelum tujuh daripada mereka ditemui selamat Khamis lalu.

Berita Harian X