Sabtu, 23 Disember 2017 | 4:15pm
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Datuk Mark Ujin (kanan) meninjau kawalan harga barang sempena Harga Musim Perayaan Krismas 2017 Peringkat Negeri Pahang di Pasaraya Jaya Grocer Kuantan City Mall. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Datuk Mark Ujin (kanan) meninjau kawalan harga barang sempena Harga Musim Perayaan Krismas 2017 Peringkat Negeri Pahang di Pasaraya Jaya Grocer Kuantan City Mall. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

3 kes SKHMP 2017 di Pahang

KUANTAN: Sebanyak 33 kes berkaitan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) direkodkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, sepanjang tahun ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Datuk Mark Ujin berkata, kes berkenaan membabitkan kesalahan peniaga tidak meletakkan tanda harga merah jambu dan menjual melebihi harga siling barangan ditetapkan.

"Sebanyak 18 daripada jumlah kes itu berlaku ketika musim perayaan Tahun Baru Cina, 11 kes pada perayaan Aidilfitri dan empat kes pada skim kawalan sempena Ramadan.

"Bilangan kes direkodkan itu berada pada tahap minimum dan terkawal.

"Kebanyakan peniaga di negeri ini memberi alasan mereka tidak dimaklumkan peraturan meletakkan tanda harga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas peringkat negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Alwi Abdul Hamid.

Sebanyak 11 jenis barangan makanan segar dikenakan kawalan harga bermula 23 hingga 27 Disember ini bersempena sambutan Krismas.

Makanan yang dikenakan harga maksimum di bawah skim berkenaan adalah ayam hidup dengan harga maksimum RM5.80 sekilogram, ayam standard (RM7.30/kg), ayam super (RM8.10/kg), daging kambing tempatan bertulang (RM41/kg),daging kambing biri-biri import bertulang (RM25/kg) dan ayam Belanda import (RM28/kg).

Selain itu, lima barangan lain turut diletakkan di bawah senarai kawalan harga adalah telur ayam gred A (36 sen sebiji), gred B (35 sebiji), gred C (34 sebiji), tomato (RM4/ kg) dan lada benggala RM9/kg.

Mark berkata, pihaknya turut mengedarkan 1,050 risalah mengenai skim kawalan harga kepada pengguna di negeri ini supaya dapat membuat perbandingan ketika berbelanja.

Beliau menasihatkan peniaga mematuhi peraturan disediakan.

"Peniaga yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda maksimum RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000.

"Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda maksimum RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," katanya.

Berita Harian X