Selasa, 19 Disember 2017 | 4:24pm
SUASANA di tapak pameran dan jualan pada Hari Terbuka SIRIM yang bertema 'Merakyatkan Kualiti' serta Pelancaran MyRM Gold dan Skim Pensijilan Cap Kempa Emas di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SIRIM, Seksyen 2 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tengah) bergambar bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan selepas melancarkan MyRM Gold dan Skim Pensijilan Cap Kempa Emas pada Hari Terbuka SIRIM yang bertema 'Merakyatkan Kualiti' di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SIRIM, Seksyen 2 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Hari terbuka peluang rakyat kenali SIRIM

SHAH ALAM: Lawatan ke makmal penyelidikan dan pengujian SIRIM peluang keemasan untuk orang ramai mengenali fungsi dan perkhidmatan disediakan agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama teknologi di Malaysia itu.

Sempena Hari Terbuka SIRIM 2017 bertemakan 'Merakyatkan Kualiti', makmal yang jarang dibuka kepada umum menjadi tumpuan orang ramai.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, berkata melalui program itu, SIRIM berpeluang memberi kesedaran mengenai peranannya dalam menjamin keselamatan dan kualiti hidup rakyat melalui produk, perkhidmatan dan teknologi berinovasi.

"Program ini bertujuan mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan disediakan SIRIM, selain peranan kami sebagai agensi penyelidikan dan teknologi utama negara kepada industri, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan tinggi, sekolah dan juga orang awam.

"Ia memberi peluang kepada pelbagai golongan untuk melihat sendiri teknologi dibangunkan SIRIM, termasuk pemesinan, robotik dan aeroangkasa, teknologi hijau, kosmetik serta ujian terhadap alatan dan produk di makmal kami.

"Terdapat banyak aktiviti interaktif menarik seperti ceramah dalam topik yang dekat di hati umum seperti keselamatan dalam kecantikan, penggredan sayur dan buah, pengurusan tekanan dan emosi serta dialog 'Hijaukan Kehidupan Seharian'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran perkhidmatan Bahan Rujukan Malaysia Standard Emas (MyRM Gold) dan Skim Pensijilan Cap Kempa Emas sempena Hari Terbuka SIRIM 2017 di Ibu Pejabat SIRIM, hari ini.

Pelancaran kedua-dua perkhidmatan itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Dr Osman Zakaria dan Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh.

Ahmad Fadzil berkata, pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti santai seperti demonstrasi solekan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, taman 'food truck' dan sudut 'buskers' serta jualan produk istimewa.

"Bagi yang mementingkan kesihatan, ada demonstrasi dan ceramah mengenai makanan selamat, halal dan sihat, selain pengurusan berat badan.

"Selain itu, ada juga topik yang penting bagi sektor industri dan usahawan seperti inisiatif Malaysia dalam ekonomi digital, standard kebangsaan untuk ketulenan emas serta Revolusi Perindustrian 4.0," katanya.

Berita Harian X