Ahad, 17 Disember 2017 | 4:11pm
DATUK Jainab Ahmad Ayid.- Foto Razik Zayad
DATUK Jainab Ahmad Ayid.- Foto Razik Zayad

Tingkat kesedaran pedofilia

KOTA KINABALU: Agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu menganjurkan lebih banyak program kesedaran berkaitan jenayah pedofilia dan pornografi kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad, berkata penganjuran program pendidikan itu penting kerana kesedaran mengenai isu berkenaan masih kurang diberi tumpuan.

"Pedofilia perkara baharu bagi masyarakat di sini sekali gus isu hangat diperkatakan apabila berlakunya banyak pendedahan berkaitan gejala ini di media sosial.

"Dalam era dunia tanpa sempadan, isu pedofilia dan pornografi membabitkan kanak-kanak sangat mudah diakses, malah apa yang lebih mengejutkan, semakin banyak peningkatan bilangan jenayah ini membabitkan rakyat negara ini.

"Situasi ini pastinya menimbulkan kebimbangan kerana tidak mahu anak-anak kecil kita terus menjadi mangsa golongan tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Ancaman Pedolifia dan Pornografi, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Myrna Jimenez.

Yang turut hadir Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysi (IKRAM), Datin Che' Asmah Ibrahim; Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM negeri, Siti Zainab Bakar dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohammad Safree Mohd Jefree.

Dianjurkan buat julung kali, seminar terbabit disertai kira-kira 270 peserta yang mewakili agensi kerajaan, NGO dan pelajar universiti awam.

Dalam pada itu, Jainab berkata, beliau sentiasa menyokong penganjuran program seperti itu kerana melihat kepentingan bersama dan tanggungjawab dalam membanteras jenayah pedofilia dan pornografi dari semua pihak.

"Kita mencadangkan supaya program sama dilaksanakan ke seluruh negeri ini agar maklumat serta pendidikan dapat disalurkan secara berterusan," katanya.

Berita Harian X