Ahad, 17 Disember 2017 | 11:36am

Raja Muda Selangor sertai larian jambatan Klang

TENGKU Amir (tengah) berkenan turut serta berlari sejauh 5 kilometer dalam Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TENGKU Amir (tengah) berkenan turut serta berlari sejauh 5 kilometer dalam Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KLANG: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyertai Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017 bersama-sama kira-kira 5,000 peserta, hari ini.

Tengku Amir menyertai kategori larian 'Family Fun Run' sejauh lima kilometer (km).

Peserta larian turut tidak melepaskan peluang beramah mesra dan berswafoto dengan Tengku Amir yang dilihat bersemangat sepanjang larian berkenaan.

Terdahulu, Tengku Amir berkenan melepaskan peserta kategori berbasikal, Terbuka Lelaki sejauh 10 km dan Terbuka Wanita sejauh 10 km, dari Jambatan Raja Muda Nala pada jam 7.15 pagi.

Larian berkenaan turut mempunyai kategori Lelaki Veteran dan Wanita Veteran sejauh 10 km yang terbuka kepada peserta berusia 40 tahun ke atas.

TENGKU Amir (tiga dari kiri) melepaskan peserta yang menyertai Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TENGKU Amir (tiga dari kiri) melepaskan peserta yang menyertai Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Larian Menjunjung Kasih Jambatan Ketiga Klang 2017. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Larian yang masuk tahun ketiga penganjuran itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia antara lain bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Jambatan Raja Muda Nala dinamakan oleh Sultan Sharafuddin bersempena nama putera Sultan Selangor yang pertama pada majlis perasmiannya 19 November lalu. - BERNAMA

Berita Harian X