Sabtu, 16 Disember 2017 | 10:08am
SEBAHAGIAN ahli STA dan pengamal media bergambar kenangan pada Majlis Apresiasi STA, di Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Sabah ketengah produk pelancongan pedalaman

KOTA KINABALU: Persatuan Pelancong Sabah (STA) merancang mengetengahkan lebih banyak produk pelancongan di pedalaman negeri ini pada tahun hadapan.

Pengerusi STA, Tony Chew, berkata masih banyak destinasi menarik di pedalaman Sabah belum diketengahkan sebagai produk pelancongan.

Katanya, antara daerah yang dikenal pasti mempunyai peluang dijadikan destinasi pelancongan termasuklah Keningau, Pitas, Kota Marudu, Tenom dan Kota Belud.

"Setiap daerah ini memiliki tempat menarik untuk dikunjungi oleh pelancong tempatan dan asing.

"Selain itu, aktiviti yang dilakukan di perkampungan sekitar daerah dan perusahaan tempatan seperti kraf tangan dan makanan juga boleh menjadi tarikan pelancong," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi STA, di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 60 tetamu, termasuk ahli STA, pengusaha pelancongan, pegawai agensi kerajaan berkaitan dan media.

Chew berkata, pihaknya juga merancang membawa agensi kerajaan berkaitan dan media ke pedalaman Sabah untuk melihat sendiri produk pelancongan di kawasan berkenaan.

"Ini juga satu langkah kita mempromosi dan memperkenalkan produk baharu di pedalaman supaya mampu diketengahkan kepada masyarakat," katanya.

Berita Harian X