Jumaat, 15 Disember 2017 | 4:58pm
SEBAHAGIAN mangsa banjir dihantar pulang ke kampung masing-masing selepas banjir beransur surut. - Foto Recqueal Raimi

5 PPS ditutup di Kota Belud

KOTA KINABALU: Semua lima pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Kota Belud sudah ditutup hari ini.

Tiga daripada PPS terbabit iaitu Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan dan Dewan Kompleks Sukan Botung ditutup semalam.

Dua lagi iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 dan Dewan SMK Agama Tun Said, ditutup hari ini.

Sebelum ini, lebih 1,800 mangsa banjir dipindahkan di Kota Belud selepas 26 kampung di sekitar daerah itu dinaiki air bermula Selasa lalu.

Proses menghantar pulang mangsa banjir dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai agensi lain yang berkaitan.

Operasi banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), polis, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.

Setakat jam 4 petang tadi, hanya PPS Dewan Masyarakat Membakut, daerah kecil Membakut, Beaufort, masih dibuka.

Timbalan Pengarah APM Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, berkata 99 mangsa daripada 38 keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.

Sebanyak 14 kampung terjejas di sekitar Membakut berikutan limpahan Sungai Membakut akibat hujan berterusan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Berita Harian X