Khamis, 7 Disember 2017 | 6:57pm
AHLI Keluarga dan kenalan Allahyarham Datuk Zainudin Ismail mendengar bacaan talkin selepas di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petaseh Hilir Jelebu. - Foto Adzlan Sidek
AHLI Keluarga dan kenalan Allahyarham Datuk Zainudin Ismail mendengar bacaan talkin selepas di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petaseh Hilir Jelebu. - Foto Adzlan Sidek

Arwah berhasrat jadikan Jelebu kawasan tumpuan

KUALA KLAWANG: "Arwah ayah sangat komited dengan kerjanya dan diterima baik sebagai Ahli Parlimen Jelebu selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu," kata Muhammad Arif, 28, anak kepada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Zainudin Ismail.

Zainudin, 58, meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam kelmarin di kediaman anaknya di Kondo Villa Puteri, Kuala Lumpur, akibat penyakit ketumbuhan otak yang dihidapinya lebih setahun lalu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petaseh Hilir di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Muhammad Arif berkata, oleh kerana bapanya terlalu komited dengan kerja, mereka sekeluarga pernah membatalkan percutian pada saat akhir apabila bapanya tiba-tiba perlu menghadiri mesyuarat penting.

Namun katanya, walaupun arwah sentiasa sibuk sebagai ahli politik, jika mempunyai masa terluang, keluarga tetap menjadi keutamaan.

"Arwah pernah bercerita mengenai hasratnya mahu memajukan daerah Jelebu sebagai kawasan tumpuan, dan sudah mempunyai pelbagai perancangan termasuk cadangan pembinaan jalan dari Kampung Chennah ke Pelangai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petaseh di sini, tadi.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya amat tegas dalam mendidik anak-anak dan tidak langsung memanjakan mereka berlebihan, namun seorang yang penyayang.

"Kami kehilangan ayah dan ketua keluarga yang sangat komited dalam memastikan keluarga sentiasa berada di dalam keadaan baik.

"Terima kasih kepada rakan-rakan arwah di dalam dan luar bidang politik yang sebelum ini banyak memberi sokongan ketika arwah bertarung melawan penyakitnya sejak lebih setahun lalu," katanya.

Zainudin meninggalkan isteri, Datin Ruziah Yaacob, 55, dan dua lagi anak Liyana, 32, dan Lily, 24.

Allahyarham dikesan menghidap kanser otak peringkat empat selepas mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu, kerana tidak sedarkan diri.

Selepas itu, Allahyarham menjalani dua pembedahan bagi membuang ketumbuhan diikuti 15 sesi kimoterapi.

Berita Harian X