Isnin, 4 Disember 2017 | 10:00pm
PENOLONG Pengurus Eksekutif Hotel Perdana, Amer Ahmad (kanan) melihat kakitangan membuat putu halba pada majlis 'Perdana Street Food 3.0' di perkarangan lobi Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Putu halba pikat selera pengunjung hotel

KOTA BHARU: Menggunakan resepi tradisional dan asli, hampir 500 putu halba laris terjual dalam masa sehari.

Dengan ramuan ubi kayu yang dikisar halus tanpa campuran tepung, ditambah gula melaka asli sebagai inti dan ditambah bahan asas lain menjadikan putu halba yang dijual di lobi Hotel Perdana menjadi pilihan.

Putu halba istimewa ini antara 13 gerai yang disediakan sempena 'Perdana Street Food 3.0' dan gerai itu antara yang paling meriah dengan kehadiran pengunjung.

Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Perdana, Amer Ahmad, berkata menu putu halba dibuat adalah bertepatan dengan musim tengkujuh di negeri ini dan ia amat sinonim.

"Pada November tahun lalu kami membuat percubaan dengan menjual putu halba sahaja dan tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan dan sempena 'Perdana Street Food 3.0' kali ini kami membawakan menu itu sekali lagi bersama banyak lagi makanan lain.

"Dijual dengan harga RM5 untuk empat biji ia agak berbaloi kerana saiznya agak besar dan inti gula melaka yang banyak dan sudah pasti rasanya sedap kerana berasaskan ubi kayu sepenuhnya," katanya sambil memberitahu sebanyak 300 kilogram digunakan setiap hari untuk menghasilkan putu halba.

Selain putu halba antara yang terhidang di 'Perdana Street Food 3.0' adalah pelbagai jenis sup yang dihidang bersama roti benggali, char kway teow kerang, ikan bakar, aneka roti canai, air batu campur (ABC) dan cendol pulut mangga.

PENOLONG Pengurus Eksekutif Hotel Perdana, Amer Ahmad (kiri) melayan pelanggan yang datang pada majlis Perdana Street Food 3.0 di perkarangan lobi Hotel Perdana, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Tidak terkecuali adalah makanan barat iaitu burger ayam Mumbai, Roti John, Spagheti Bolognaise, Fettuccine Carbonara, salad serta makanan Korea iaitu Ramen.

Harga yang ditawarkan adalah bermula RM5 berbeza mengikut hidangan dan program itu diadakan selama sebulan bermula 1 Disember lalu dan berakhir hujung bulan ini.

Amer berkata, bagi memberi peluang kepada golongan asnaf menikmati makanan yang dijual dalam program itu, kupon bernilai RM5 dan RM10 dijual kepada orang ramai untuk ditukarkan kepada juadah yang dipilih penderma untuk diagihkan nanti.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X