Khamis, 30 November 2017 | 8:17pm
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid (tiga kiri) menanam pokok api-api sebagai simbolik merasmikan Program Penanaman Flora Kawasan Paya Bakau - Ecosystem Approach To Fisheries Management Siri 1 Bersama Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Pantai Kelanang. - Foto Faiz Anuar

Tanam bakau untuk cegah hakisan

BANTING: Penanaman pokok bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat membiak.

Sebaliknya kewujudan pokok ini menjadikan Pantai Kelanang sebagai tempat eko-pelancongan seterusnya meningkatkan stok sumber perikanan setempat dan ekonomi penduduk setempat khususnya di pantai itu.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemeliharaan Sumber, Pejabat Perikanan Selangor, Mohd Zaki Harun berkata, kos memulihara hakisan pantai terutama apabila fenomena air pasang besar adalah tinggi.

"Jadi dengan penanaman pokok api-api, perepat dan bakau, boleh menjadikan kawasan terbabit sebagai kawasan penampan ombak untuk mencegah hakisan pantai.

Sukarelawan yang menyertai Program Penanaman Flora Kawasan Paya Bakau - Ecosystem Approach To Fisheries Management Siri 1 Bersama Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Pantai Kelanang. - Foto Faiz Anuar

Nelayan di sini juga memohon untuk tambahan (penanaman) pokok bakau dan kawasan sumber ikan di kawasan pantai ini.

"Di kawasan paya bakau seperti ini, anak-anak ikan membesar dan apabila besar, ikan ini akan ke tengah membolehkan nelayan mendapat hasil dari situ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penanaman Flora Kawasan Paya Bakau - Siri Satu Pendekatan Ekosistem kepada Pengurusan Perikanan (EAFM) di Pantai Kelanang, di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid.

Kira-kira 100 peserta termasuk Sukarelawan Nelayan (SUPER), pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat, penduduk setempat, kakitangan Pejabat Perikanan Selangor, Jabatan Hutan Daerah Pantai Klang dan kakitangan MDKL, serta nelayan Pantai Kelanang terbabit dalam program berkenaan.

Mohd Zaki berkata, penanaman anak pokok api-api di situ adalah salah satu kaedah bawah skop Pemuliharaan Kawasan Pantai melalui kerjasama bersepadu antara agensi berkepentingan dalam industri perikanan seperti disarankan dalam program antarabangsa, Pendekatan Ekosistem kepada Pengurusan Perikanan (EAFM).

Fakta

Pokok api-api adalah spesies perintis (pioneer) untuk hutan paya laut.

200 anak pokok api-api ditanam di kawasan seluas 0.05 hektar.

Berita Harian X