Selasa, 28 November 2017 | 1:40pm
DATUK Seri Mohd Soffi Ab Razak. - Foto Nazirul Roselan
DATUK Seri Mohd Soffi Ab Razak. - Foto Nazirul Roselan

Projek KWRC tidak jejas hutan paya bakau

KUANTAN: Kerajaan negeri menafikan projek Kuantan Waterfront Resort City (KWRC) menjejaskan kawasan hutan paya bakau di sepanjang Sungai Kuantan, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Ab Razak berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen pembersihan atau pembalakan kayu hutan bakau di kawasan berkenaan.

"Tidak ada lesen untuk kerja pembalakan di kawasan hutan paya bakau atau hutan paya laut di situ... ini kerana hutan itu tidak diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran.

"Kita selaku kerajaan negeri yang bertanggung jawab akan memastikan kawasan seluas 1,258.99 hektar merangkumi Hutan Simpan Kuantan Paya Laut, Hutan Simpan Peramu, Hutan Simpan Cherating, Hutan Simpan Balok dan Hutan Simpan Bebar kekal terpelihara walaupun ada perancangan pembangunan di kawasan terbabit," katanya dalam sidang dewan undangan negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu adakah projek KWRC menjejaskan hutan paya bakau dan spesies tertentu yang terdapat di pesisir Sungai Pahang, di sini.

Mohd Soffi berkata, selain memelihara hutan paya bakau sedia ada, kerajaan negeri juga melakukan kerja pemuliharaan hutan paya bakau dengan kerjasama agensi berkaitan.

Katanya, sejak tahun 2005, sejumlah 66,682 pokok bakau pelbagai spesies ditanam di kawasan seluas 117.11 hektar.

Berita Harian X