Isnin, 27 November 2017 | 4:21pm
DATUK Seri Adnan Yaakob.- Foto Farizul Hafiz Awang

Pasukan petugas khas diwujud pantau maahad tahfiz

KUANTAN: Kerajaan negeri mewujudkan pasukan petugas khas bagi memantau maahad tahfiz dan sekolah pondok di seluruh Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata ia dianggotai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa jabatan serta agensi keselamatan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, mesyuarat penyelarasan isu keselamatan premis bangunan maahad tahfiz dan sekolah pondok sudah diadakan pada 6 Oktober lalu yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

"Mesyuarat berkenaan membabitkan semua PBT di Pahang dan jabatan serta pasukan keselamatan yang berkaitan. Tugas pasukan ini adalah memantau perkembangan maahad tahfiz dan sekolah pondok mengikut bidang kuasa masing-masing.

"Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini, seperti kebakaran maahad tahfiz dan sekolah pondok hingga mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Isma (BN-Pulau Tawar) yang mahu kerajaan negeri menjelaskan tindakan dilakukan berikutan terdapat banyak kejadian kebakaran membabitkan maahad tahfiz sehingga mengorbankan nyawa kebelakangan ini.

Adnan memaklumkan bahawa satu program pemutihan akan dijalankan ke atas maahad tahfiz dan pondok sama ada berdaftar atau tidak.

"Tujuan kita melakukan program pemutihan ini adalah untuk mengemas kini data dan maklumat terkini, terutama berkaitan keselamatan bangunan.

"Dalam pada masa yang sama, data lengkap yang sedang dikemas kini ini kita akan diedarkan kepada semua PBT untuk makluman dan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, mengikut rekod MUIP dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terdapat 70 maahad tahfiz dan sekolah pondok yang beroperasi di negeri ini.

Katanya, kedua pihak berkenaan masih melakukan pemeriksaan sama ada semuanya sudah berdaftar atau masih belum berdaftar dengan MUIP atau JAIP.

Berita Harian X