Selasa, 14 November 2017 | 2:42pm
TIMBALAN Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak sasar hab pengeluaran buah-buahan

KUCHING: Dasar Ekonomi Digital yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, diyakini berupaya membantu menjadikan negeri ini sebagai pengeksport utama buah-buahan tempatan di peringkat serantau, khususnya durian berkualiti tinggi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.

Ia juga seiring dengan inisiatif kerajaan negeri melaksanakan proses pemodenan aktiviti pertanian di Sarawak, khusus melalui penggunaan teknologi pintar dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti, selain membantu meneroka pasaran lebih meluas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata segmen buah-buahan dikenalpasti antara yang berpotensi diterokai dalam usaha memperkukuhkan perkembangan sektor pertanian, termasuk industri asas tani dan pengeluaran makanan di negeri ini.

"Seiring dengan kemajuan semasa, kita tidak boleh terlepas dalam memanfaatkan kemajuan teknologi yang banyak membantu meningkatkan pengeluaran produk pertanian, begitu juga pengekalan kualiti dan penerokaan pasaran lebih meluas seperti dipratikkan di kebanyakan negara maju.

"Malah, penggunaan teknologi turut membantu kita dalam membangunkan sektor huluan dan hiliran industri pertanian, termasuk pengeluaran produk tambah nilai yang tentunya mampu mempertingkatkan ekonomi negeri, khususnya sumber pendapatan petani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Top Fruits Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Penview (PCC), di sini yang turut disaksikan Abang Johari.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Datuk Lai Kui Fong dan Pengarah Top Fruits Sdn Bhd, Dr Tan Sue Yee.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak mengambil pendirian optimis dan yakin negeri ini mampu muncul sebagai hab pengeluaran utama buah-buahan berkualiti tinggi, khususnya durian bagi Malaysia dan wilayah serantau.

"Sarawak memiliki tanah subur dan iklim yang baik. Ia satu kombinasi yang cukup bersesuaian untuk pelbagai tanaman, khususnya buah-buahan, lebih-lebih lagi dengan adanya bantuan teknologi," katanya.

Mengulas mengenai memorandum itu, beliau menjelaskan ia sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pengeluaran buah-buahan di Sarawak, termasuk merangkumi aspek pemasarannya.

"Kita memiliki banyak bekalan durian, termasuk yang bergred tinggi. Namun, kita berdepan masalah pemasaran hingga menyebabkan berlakunya lambakan apabila tiba musimnya, begitu juga buah-buahan lain seperti nanas.

"Pengalaman Top Fruits selama 30 tahun, termasuk operasi pemasarannya di 11 negara di seluruh dunia dapat membantu kita menangani pemasalahan ini, sekali gus memperkukuhkan segmen durian kita," katanya.

Uggah berkata, tanaman durian berpotensi besar untuk terus dibangunkan, malah di Bahagian Serian sahaja berhampiran Bandaraya Kuching, terdapat 18,000 pokok durian ditanam oleh individu perseorangan dan syarikat.

Jika setiap pokok mengeluarkan 50 biji durian, beliau yakin ia mampu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan bagi setiap pekebun, namun perlu memiliki strategi pemasaran yang berkesan seperti dilaksanakan Top Fruits.

"Bagi mengatasi lambakan durian, kita menjadikan Loji IQF di Tarat, Serian sebagai Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bagi durian dan buah-buahan lain. Ini mampu meningkatkan pendapatan bulanan petani di Sarawak," katanya. 

Berita Harian X