Ahad, 5 November 2017 | 7:31pm
Ular sawa yang ditangkap dilepaskan semula ke habitat asal jauh daripada kawasan penempatan. - Foto Mohd Shukor Amin

Jatuh motosikal terkejut lihat ular sawa melintas

SABAK BERNAM: Seorang remaja terjatuh daripada motosikal kerana terkejut melihat seekor ular sawa batik sepanjang lebih tiga meter melintas di depan rumahnya, di Kampung di Parit 8, Sekinchan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Khairul Ikhwan Roslan, 17, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan bergegas memaklumkan kejadian itu kepada ibunya, Hakimah Sawal.

Hakimah,53, berkata beliau segera menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan menangkap haiwan itu.

"Sementara menunggu kedatangan bomba, kami sekeluarga memerhatikan ular sawa itu kerana risau ular itu melarikan diri.

"Ular itu hanya berdiam mungkin kerana sudah kenyang. Ini kali kali pertama seekor ular sawa sebesar itu ditangkap di rumah saya.

"Kalau ular jenis tedung selar atau ular senduk sudah banyak kali ditangkap," katanya.

Sementara itu, Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Pegawai Kanan Bomba II,Zulkafli Mayas, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.23 malam.

Katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan pihaknya mengambil masa kurang 10 minit untuk menangkap ulat berkenaan.

"Ular sawa itu tidak bertindak agresif kerana kekenyangan.

"Ular sawa itu dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk," katanya.

Berita Harian X