Ahad, 5 November 2017 | 6:57pm
MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Roslin Mat Tahir.
MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Roslin Mat Tahir.

Azmin main wayang dengan Bajet Selangor 2018

KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menyifatkan pengumuman Bajet Selangor 2018 untuk menghapuskan tunggakan pada Projek Perumahan Rakyat (PPR) berjumlah lebih RM8 juta adalah sesuatu yang melucukan.

Sambil menyifatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti baru tersedar daripada mimpi kerana pilihan raya yang makin hampir, Noh mempersoal Menteri Besar Selangor, PPR manakah yang dimaksudkan itu.

"Sebagai menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya ketawa kerana pengumuman itu melucukan.

"Kalau itu perancangannya (penghapusan tunggakan) bermakna dia akan menuntut penghapusan itu kepada KPKT.

"Kenapa tak tawarkan sewa turun kepada mereka atau sewa beli.

"Seperti rumah di Lembah Subang 1, apabila kita ambil alih kita akan laksana sewa lebih rendah dan sewa beli kerana sampai bila mereka nak menyewa," katanya pada majlis penutup Program Azam Bandar Fasa Empat, Siri Satu 2017, hari ini.

Noh berkata, Azmin bermain wayang dengan cara hendak menghapuskan sewa berkenaan.

Katanya, apabila menjadi menteri KPKT, beliau turun padang di banyak tempat termasuk Parlimen Gombak untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan.

"Saya luluskan hampir RM10 juta di Parlimen Gombak untuk tolong bantu masalah penyelenggaraan rumah kos rendah," katanya.

Noh berkata, KPKT membelanjakan hampir RM160 juta untuk membuat penyelenggaraan pangsapuri kos rendah di Selangor.

Katanya, selama lapan tahun Azmin memerintah banyak pangsapuri kos rendah terbiar dan sekarang apabila pilihan raya sudah hampir baru mereka nak terjaga dari mimpi untuk membela nasib orang miskin bandar.

"Saya nak ulang, kalau dalam Parlimen Gombak, beliau tak boleh beri pembelaan kepada mereka yang tinggal di rumah kos rendah, bagaimana nak bela orang lain," katanya.

Terdahulu, pada majlis penutup Program AZAM Bandar turut menyerahkan bantuan peralatan untuk peserta mengikut bidang kursus yang disertai peserta.

Program berkenaan yang dianjurkan KPKT dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Mahabbah Malaysia (MAHABBAH) dihadiri 135 peserta dari golongan B40.

Peserta ini menyertai tujuh kursus yang ditawarkan seperti penyediaan makanan dan minuman, spa dan kesihatan, jahitan, peruncitan dan pemasaran, penyelenggaraan kenderaan, pembaikan rumah dan landskap lembut atau pengurusan rumah.

Berita Harian X