Khamis, 2 November 2017 | 12:02pm
DATUK Law Choo Kiang semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Pulau Pinang di bangunan DUN, Georgetown. - Foto Danial Saad
DATUK Law Choo Kiang semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Pulau Pinang di bangunan DUN, Georgetown. - Foto Danial Saad

Sidang DUN: Isu banjir jadi perhatian

GEORGETOWN: Isu banjir kilat di negeri ini mendapat perhatian utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok pembangkang dan kerajaan, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, berkata lebih 20 peratus daripada 76 soalan lisan dikemukakan untuk Mesyuarat kedua Penggal ke Lima kali ini mengenai masalah banjir kilat di kebanyakan kawasan.

"Dewan telah menerima sebanyak 76 soalan lisan dan sebahagian besarnya mengenai masalah banjir dan sistem perparitan negeri termasuk langkah atasi masalah, peruntukan projek tebatan banjir dan tindakan kerajaan negeri," katanya pada sidang DUN Pulau Pinang yang bermula, hari ini.

Choo Kiang berkata, pihaknya turut menerima 654 soalan bertulis manakala dua rang undang-undang akan dikemukakan serta dua usul dengan sidang DUN Pulau Pinang akan berlangsung sehingga semua urusan habis dibahaskan.

"Sesi persidangan akan ditangguh sehari esok sebelum dijadualkan bersambung pada 6 hingga 13 November, sejurus selesai pembentangan Bajet 2018 Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya.

Sesi persidangan DUN dijangka akan ditangguh sehari lagi pada 7 November untuk memberi laluan kepada lawatan sehari oleh pewaris takhta Britain itu, Putera Charles dan isteri, Camilla Parker Bowles ke Pulau Pinang.

Sebelum ini, ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad daripada Barisan Nasional (BN) dilapor akan mengemukakan usul berhubung pembangunan di kawasan lereng bukit yang sudah dimasukkan dalam susunan mesyuarat.

Berita Harian X