Selasa, 10 Oktober 2017 | 4:22pm
SPAN melakukan pemotongan air yang disyaki melakukan sambungan bekalan air yang tidak sah setelah menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berhubung kes kecurian air di tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2). - Foto Halim Salleh
SPAN melakukan pemotongan air yang disyaki melakukan sambungan bekalan air yang tidak sah setelah menerima aduan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berhubung kes kecurian air di tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah (MRR2). - Foto Halim Salleh

Projek besar guna sambungan paip haram

GOMBAK: Kumpulan Air Selangor (Air Selangor) menanggung kerugian berjumlah RM145,364.59 membabitkan 63,756.40 meter padu air sejak setahun lalu, susulan paip haram ke tapak projek naik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor yang menyerbu lokasi berkenaan mengesan sambungan haram paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 32 milimeter (mm) pada paip utama Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN, Loh Pit Mui, yang mengetuai operasi serbuan itu berkata, sambungan haram berkenaan disyaki digunakan untuk aktiviti pembinaan dan kegunaan harian pekerja.

"Siasatan kita mendapati sambungan dibuat secara haram manakala bekalan air digunakan bagi aktiviti projek selain disalur ke rumah kongsi pekerja.

"Malah, ujian klorin di tapak turut mengesahkan air yang dicuri adalah air terawat,

"Susulan serbuan hari ini, sambungan paip HDPE itu dipotong manakala bekalan air ke kawasan ini juga akan disekat.

"Kesalahan disiasat menerusi Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)," katanya kepada media selepas operasi, hari ini.

Pit Mui berkata, jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Operasi dilakukan untuk membanteras penyambungan bekalan air secara tidak sah dan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Media, Acara dan Komunikasi Dalaman, Komunikasi Korporat Air Selangor, Siti Zubaidah Zakaria, berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis untuk tuntutan ganti rugi.

"Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan dikeluarkan bagi tuntutan ganti rugi kehilangan air yang digunakan secara tidak sah iaitu tanpa melalui meter.

"Kami menerima pelbagai aduan daripada orang awam berhubung kes kecurian air. Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan di lokasi disyaki." katanya yang menyertai serbuan itu.

Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 9 Oktober tahun ini, katanya, sebanyak 98 kes kecurian air ditumpaskan dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 juta.

Berita Harian X