Sabtu, 7 Oktober 2017 | 8:15pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada peserta pada Program Kelestarian Eko-pelancongan di Pulau Bidong, hari ini. - Foto Aslina Abu Bakar

190 penyelam skuba cipta rekod

PERMAISURI: Aksi 190 penyelam skuba yang membentuk rangkaian sepanjang 200 meter pada kedalaman 14 meter di perairan dekat Pulau Bidong hari ini, berjaya disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Lebih menarik apabila usaha mencipta rekod itu turut disertai penyelam skuba pelbagai lapisan umur termasuk wanita, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Program inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu mendapat kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Scubatex Resources Sdn Bhd, Muslimah Diver, Yayasan Coral Malaysia (YCM) dan MBOR.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata peserta mengambil masa 35 minit untuk mencipta rekod berkenaan hanya dengan sekali percubaan.

"Program ini bertujuan mempergiat program kelestarian eko pelancongan di pulau ini selain usaha memulihara produk pelancongan bawah air melalui aktiviti rekreasi selam skuba di Pulau Bidong.

"Melalui aktiviti ini, kementerian berharap usaha mempergiat program kesedaran untuk pemuliharaan karang melalui kempen Penanaman Karang dan Go Green dapat diperhebatkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kelestarian Eko-pelancongan dan aktiviti selaman itu yang turut diisi pelbagai aktiviti lain sepanjang program bermula 6 Oktober lalu itu.

Antara aktiviti dirangka sehingga 9 Oktober ini termasuk aktiviti propagasi karang, selaman skuba dan pembersihan dasar laut serta pantai.

Mas Ermieyati berkata, pemilihan Pulau Bidong sebagai lokasi mencipta rekod berkenaan juga bertujuan memperkenalkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan pergi-balik yang juga tinggalan pelarian Vietnam.

"Lokasi ini juga terkenal sebagai pusat penyelidikan dan pemuliharaan terumbu karang yang dijalankan oleh UMT dan YCM," katanya.

Berita Harian X