Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:51am
RAPID Bus, operator perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL melakukan perubahan kecil atau 'tweaking' untuk tiga laluan di kawasan Cheras bagi manfaat pengguna.- Foto Muhd Asyraf Sawal
RAPID Bus, operator perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL melakukan perubahan kecil atau 'tweaking' untuk tiga laluan di kawasan Cheras bagi manfaat pengguna.- Foto Muhd Asyraf Sawal

Rapid KL ubah tiga laluan bas di Cheras

KUALA LUMPUR: Rapid Bus, operator perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL melakukan perubahan kecil atau 'tweaking' untuk tiga laluan di kawasan Cheras bagi manfaat pengguna.

Laluan berkenaan adalah di Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohd Azam Omar, berkata pelarasan bagi laluan bas 400, 401 dan 450, yang turut menjadikan Stesen MRT Taman Mutiara sebagai salah satu dari perhentiannya, bermula pada 22 September lalu juga dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan penumpang.

"Secara peribadi, saya bersedia untuk melakukan apa jua 'tweaking' dan meluaskan kawasan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pelanggan.

"Bagaimanapun, kami mempunyai kekangan sendiri termasuk laluan yang tidak sesuai untuk perjalanan bas yang lancar, bilangan bas dan kapten bas sedia ada, selain kepentingan operator lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, katanya, semua permintaan Rapid KL perlu dibuat dengan teliti dengan menimbang banyak faktor, termasuk perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan, khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang memiliki kuasa mutlak dalam meluluskan apa juga perubahan, kawasan perkhidmatan dan tambahan laluan bas.

"Rapid Bus sentiasa bersikap terbuka bagi sebarang cadangan seperti saranan daripada penduduk Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara.

"Namun, dalam membuat kajian terhadap saranan berkenaan, saya berharap pengguna juga melihat perkara itu daripada perspektif kami," katanya.

Berita Harian X