Rabu, 4 Oktober 2017 | 2:13pm
WAN Daud Wan Hassan, bersama isterinya, Rohaya Mohd Daud, mengambil upah menjahit bagi menampung kehidupan mereka di rumahnya di Kampung Pasir Hor.- Foto Fathil Asri
WAN Daud Wan Hassan, bersama isterinya, Rohaya Mohd Daud, mengambil upah menjahit bagi menampung kehidupan mereka di rumahnya di Kampung Pasir Hor.- Foto Fathil Asri
WAN Daud dan Rohaya Mohd Daud, berehat selepas selesai menjahit di rumahnya di Kampung Pasir Hor.- Foto Fathil Asri
WAN Daud dan Rohaya Mohd Daud, berehat selepas selesai menjahit di rumahnya di Kampung Pasir Hor.- Foto Fathil Asri

Pasangan OKU sara hidup dengan menjahit

KOTA BHARU: Bisu dan pekak sejak lahir tidak menghalang pasangan suami isteri dari Kampung Pasir Hor, di sini, bekerja sebagai tukang jahit untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kekurangan diri itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mencari rezeki atau berasa rendah diri buat Wan Daud Wan Hassan, 56 dan isteri, Rohaya Mohd Daud, 58, walaupun kerjayanya itu perlu berkomunikasi dengan pelanggan.

Pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata itu seolah-olah saling lengkap melengkapi apabila Wan Daud berperanan sebagai tukang jahit baju Melayu dan kemeja, manakala Rohaya akan membuat sentuhan akhir termasuk menjahit butang baju.

Wan Daud ketika ditemui berkata, dia terbabit dalam bidang jahitan sejak berusia 12 tahun apabila tinggal di rumah kebajikan di Pengkalan Chepa.

"Alhamdulillah dengan kemahiran yang ada, saya dan isteri mampu membesarkan tiga anak berusia 29 hingga 33 tahun dengan hasil menjahit. Pada awalnya memang sukar untuk mendapat pelanggan kerana kekurangan yang kami alami.

"Namun, berkat kesabaran hasil tangan saya dan isteri semakin dikenali sehingga ada doktor dan kakitangan Hospital Universiri Sains Malaysia (HUSM) datang menjahit dengan kami. Apabila tempatan baju siap, kami akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan.

"Walaupun hanya memperoleh pendapatan sekitar RM400 sebulan, namun kami bersyukur sekurang-kurangnya kami berusaha sendiri untuk mencari pendapatan. Namun, menjelang Aidilfitri dan Aidiladha, sambutan daripada pelanggan menggalakkan," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Temubual itu dibantu Wan Bilah Wan Hassan, 61, iaitu kakak Wan Daud. Turut hadir, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani yang menyampaikan sumbangan.

Wan Daud berkata, upah baju Melayu yang dikenakan RM90, manakala baju kemeja RM45, dengan setiap helai baju itu mampu disiapkan dalam masa sehari.

"Saya bersyukur kerana setiap kali pelanggan datang mengambil baju, mereka berpuas hati dengan hasil jahitan kami," katanya.

Berita Harian X