Sabtu, 23 September 2017 | 4:56pm
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bergambar bersama dengan lima puluh pasangan pengantin pada majlis Walimatul Urus Perdana di Masjid Zahir. - Foto NSTP/Amran Hamid

Kedah rai 50 pasangan pengantin baharu

ALOR SETAR: Lima puluh pasangan pengantin baharu diraikan pada Majlis Resepsi Walimatulurus Perdana peringkat negeri ini yang diadakan di Masjid Zahir, di sini hari ini.

Ia dijayakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara kerajaan negeri, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Lebih meriah, majlis kali kedua dianjurkan itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Rosmah turut merenjis air mawar dan menepung tawar semua pasangan pengantin selepas bergambar bersama-sama dengan berlatar belakangkan Masjid Zahir.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad (kanan) beramah mesra dengan pasangan pengantin pada majlis Walimatul Urus Perdana di Masjid Zahir. - Foto NSTP/Amran Hamid

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Suraya Yaacob, berkata majlis itu kesinambungan inisiatif program BARAKAH Anak Muda.

Katanya, program BARAKAH Anak Muda menyediakan kursus praperkahwinan percuma yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, berkata pihaknya amat prihatin dengan masalah anak muda dalam soal perkahwinan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah beramah mesra dengan pasangan pengantin pada majlis Walimatul Urus Perdana di Masjid Zahir. - Foto NSTP/Amran Hamid

"Jadi kita permudahkan urusan itu, ringankan beban pasangan muda dan memberi harapan permulaan kehidupan berkeluarga yang bahagia untuk mereka.

"Ia juga mampu mengurangkan isu perkahwinan di luar sempadan yang tidak mengikut undang-undang negara dan akhirnya menimbulkan masalah kepada institusi keluarga," katanya.

Tahun lalu, sebanyak 83 pasangan pengantin diraikan pada majlis yang julung kali diadakan di negeri ini.

Berita Harian X