Ahad, 17 September 2017 | 11:51pm
PENYELAM yang ditugaskan untuk menyusun dan meletakkan 30 basikal sebagai tukun rekreasi di dasar laut Pulau Bidong. - Foto ihsan Universiti Malaysia Terengganu
SUSUNAN menarik 30 basikal yang diturunkan pada kedalaman 13 meter di dasar laut Pulau Bidong untuk dijadikan tukun rekreasi. - Foto ihsan Universiti Malaysia Terengganu.

30 basikal jadi hiasan 'taman laut' Bidong

PERMAISURI: Sebanyak 30 basikal diturunkan pada kedalaman 13 meter di Pulau Bidong, di sini untuk dijadikan tukun rekreasi di Galeri Pusat Penyelidikan milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program kerjasama antara UMT dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) itu adalah tambah nilai untuk program kelestarian hidupan marin sekali gus menambah lokasi menarik di dasar laut yang boleh dilawati pelancong terutama penyelam.

Pengurus Pusat Penyelidikan Bidong UMT, Bahrain Mustafa, berkata seramai 62 penyelam terlatih ditugaskan untuk menyusun dan meletakkan tukun rekreasi itu di dasar laut.

Katanya setiap peserta akan membuat tiga selaman bagi memastikan tukun itu dapat bertahan dalam tempoh yang lama iaitu sekurang-kurangnya untuk 10 tahun.

"Apabila kita meletakkan tukun ini, kita dapat mengelakkan penyelam ke tempat batu karang bagi mengurangkan risiko kerosakan sekali gus menyelamatkan khazanah itu daripada terjejas.

"Malah tukun ini juga dapat dijadikan tempat pembiakan hidupan laut selain kita dapat mencipta satu kelainan kepada penggemar aktiviti selaman untuk bergambar," katanya kepada media ketika program meletakkan tukun itu dijalankan , di sini, hari ini.

Bahrim berkata, sebelum program itu dilaksanakan, UMT sudah melakukan beberapa uji kaji untuk memastikan cat dan minyak pada basikal terbabit tidak mencemarkan dan menjejaskan hidupan laut.

"Berdasarkan hasil uji kaji yang dijalankan sejak dua tahun lalu, kita mendapati pelbagai spesis batu karang dan rumpai laut yang cantik dan menarik tumbuh di kawasan yang diuji dan tidak mendatangkan kesan buruk pada hidupan marin lain.

"Justeru, berdasarkan hasil kajian itu, kita mengumpul sebanyak 30 basikal hasil sumbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan UMT untuk ditempatkan di dasar laut bagi memberikan panorama baharu kepada penggemar aktiviti menyelam," katanya.

Berita Harian X