Isnin, 11 September 2017 | 6:03pm
PENJAJA melihat keadaan gerai mereka yang hangus terbakar. - Foto Adzlan Sidek
PENJAJA melihat keadaan gerai mereka yang hangus terbakar. - Foto Adzlan Sidek

Peniaga harap MPS segera baiki pasar

SEREMBAN: Peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Besar Seremban, Ahad lalu, berharap Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dapat membaik pulih segera kerosakan supaya mereka dapat kembali mencari rezeki.

Peniaga ikan generasi ketiga di pasar itu, See Chun Pin, 30, berkata buat masa ini, semua peniaga akan mengikut rancangan MPS serta kerajaan negeri.

"Kami tidak berhasrat berpindah ke tempat lain kerana kebanyakan peniaga sudah berniaga lama dan mempunyai pelanggan tetap di sini.

"Saya rugi lebih RM10,000 dalam kebakaran itu dan kini berniaga dengan menumpang lot rakan di tingkat bawah pasar ini untuk sementara waktu," katanya di sini, hari ini.

Dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 7 malam Ahad lalu, 90 peratus bahagian tingkat satu Pasar Besar Seremban yang dibina pada tahun 1975 itu musnah terbakar, menyebabkan 327 peniaga terjejas teruk.

Sementara itu, seorang tukang jahit sejak 41 tahun lalu, Chong Seong Sin, 73, berkata ini kali kedua kedai miliknya terbakar selepas kejadian pada 1986, malah kali ini lebih malang kerana dua lot kedainya musnah sepenuhnya.

"Saya kerugian lebih RM150,000 apabila mesin jahit, kain termasuk langsir dan pakaian milik pelanggan turut terbakar," katanya yang bersyukur kebanyakan pelanggan memahami apabila dimaklumkan tempahan mereka musnah.

Peniaga kain, Bariah Abdul Majid, 53, yang sudah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu, berkata semua stok pakaian miliknya musnah dengan kerugian lebih RM25,000.

"Saya berharap mampu meneruskan perniagaan di tapak sementara di kawasan ini, namun berharap MPS dapat membaik pulih kerosakan di tingkat satu dengan segera bagi membolehkan kami kembali berniaga seperti biasa," katanya.

Berita Harian X