SEREMBAN: Operasi Pasar Besar Seremban di pusat bandar ini yang terbakar malam tadi, berjalan seperti biasa dan terus dikunjungi pelanggan hari ini.
Walaupun kira-kira 90 peratus tingkat satu bangunan yang dibina pada 1975 itu musnah dan menjejaskan 197 peniaga gerai makan, kedai bunga, buah dan pakaian, peniaga di tingkat bawah tetap membuka perniagaan.
Tingkat bawah menempatkan peniaga ikan, ayam, daging, sayur, buah-buahan dan kedai runcit yang terpaksa menggunakan lilin kerana bekalan elektrik terputus akibat kebakaran malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, mengesahkan struktur bangunan dua tingkat itu selamat dan boleh digunakan semula selepas operasi pemantauan tamat sepenuhnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan pemantauan sehingga petang ini sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kebakaran semula.
"Hanya 10 unit kedai di tingkat satu terselamat, selebihnya musnah. Semua kedai di tingkat bawah pula langsung tidak terjejas.
"Kita juga membenarkan semua peniaga yang terbabit, naik sekejap ke kedai masing-masing di tingkat dua pada jam 1 tengah hari ini untuk mengambil barang mereka yang terselamat," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan.
Norazam berkata, setakat ini punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan pihaknya turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K-9) untuk mengenal pasti sama ada kejadian disebabkan unsur khianat atau sebaliknya.