Rabu, 30 Ogos 2017 | 2:44pm
DATUK Mohamad Yasid Bidin. - Foto Faiz Anuar

Roboh restoran: Tiada isu perkauman - MPK

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan adanya isu perkauman dalam proses meroboh Restoran Berkeley Corner, di sini, yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Yang Dipertua (YDP) MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan bahawa MPK tidak merobohkan restoran berkenaan yang tidak memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL) ekoran mendapat banyak bantahan daripada masyarakat India.

"Restoran berkenaan jelas tidak memiliki TOL dan dibina di atas tanah milik kerajaan. Justeru, tindakan boleh diambil ke atas mereka mengikut Seksyen 72, Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974).

"Bangunan berkenaan juga tidak mempunyai pelan bangunan serta kebenaran merancang. Bagaimanapun, proses meroboh ditangguhkan berikutan pemilik restoran membuat rayuan di mahkamah," katanya ketika ditemui di Pejabat MPK, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap operasi MPK berlandaskan undang-undang sedia ada dan bukannya berunsur perkauman seperti yang didakwa oleh segelintir masyarakat.

"Kerja meroboh akan ditangguhkan sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai status restoran berkenaan," katanya.

Pada Isnin lalu, kekecohan tercetus selepas percubaan Pejabat Tanah Klang menjalankan kerja perobohan sebuah restoran popular di Taman Berkeley dihalang orang ramai, termasuk beberapa aktivis setempat.

Operasi meroboh itu dibuat berdasarkan arahan mahkamah dan turut dibantu pegawai polis serta pegawai penguatkuasa MPK.

Berita Harian X