Selasa, 29 Ogos 2017 | 3:11pm
KAMAL Baharin Ahmad (empat dari kiri ) bersama Shahidan Embok (tiga kiri) dan Wan Mohd Hasnan Abdullah (dua dari kiri) menyemai sebahagian daripada 300 pokok bakau di dalam Comp Pillow (tilam jerami) sebelum ditanam di sepanjang Sungai Paka, hari ini -Foto Rosli Ilham
KAMAL Baharin Ahmad (empat dari kiri ) bersama Shahidan Embok (tiga kiri) dan Wan Mohd Hasnan Abdullah (dua dari kiri) menyemai sebahagian daripada 300 pokok bakau di dalam Comp Pillow (tilam jerami) sebelum ditanam di sepanjang Sungai Paka, hari ini -Foto Rosli Ilham

Tanam 1,000 pokok bakau di tebing Sungai Paka

DUNGUN: Petronas Gas Bhd akan menanam 1,000 pokok bakau di sepanjang Sungai Paka hingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kamal Baharin Ahmad, berkata sebanyak 300 pokok sudah ditanam dalam fasa pertama di kawasan itu dengan kerjasama pelbagai agensi dan penduduk kampung.

Kamal Baharin berkata, proses penanaman akan diteruskan hingga hujung tahun ini.

Program penanaman pokok bakau adalah antara aktiviti syarikat bagi menzahirkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar.

"Pokok bakau yang ditanam akan bertindak sebagai penampan kepada ombak dan pasang surut sekali gus menjaga kawasan daratan daripada hakisan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai 150 penduduk Kampung Pinang Merah menanam pokok terbabit sempena Program Sayangi Sungai Paka, di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Shahidan Embok dan Pengerusi Penasihat Alam Sekitar, Prof Dr Ahmad Ismail.

Selain menanam pokok bakau, Petronas Gas turut membuang 1,000 biji Mudball (bebola lumpur) ke sungai itu.

"Mudball ini adalah campuran tanah liat dengan bahan organik, molasses, mineral dan bakteria baik bagi memecah molekul sisa sampah, lumpur dan logam berat," katanya.

Syarikat itu juga turut merangka beberapa program berkaitan penjagaan alam sekitar termasuk melepaskan spesies ikan terpilih.

"Kami turut mengambil sampel air Sungai Paka untuk pemantauan serta merekodkan pokok bakau dan spesies hidupan lain di kawasan itu," katanya.

Selain cepat tumbuh, pokok bakau mampu melindungi ekosistem hidupan akuatik yang menjadi habitat udang, ikan dan ketam. 

"Kawasan hutan bakau juga menjadi habitan monyet dan kera serta lokasi spesies burung hijrah," katanya.

Berita Harian X