Isnin, 7 Ogos 2017 | 1:21pm
Antara terumbu karang yang rosak. - Foto ihsan James Tan

7,200 terumbu karang dilekat di Pulau Redang

PULAU REDANG: Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Terengganu akan menempatkan sebanyak 7,200 anak terumbu karang di kawasan taman laut di perairan Pulau Redang, di sini, petang ini.

Anak terumbu karang itu akan diletakkan pada 120 struktur kerangka polivinil klorida (PVC) yang dicipta khas oleh JTLM.

Program bertujuan menjana semula kawasan terumbu karang mengalami kerosakan itu akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Pusat Taman Laut, di sini, petang ini.

Program restorasi karang itu diadakan sempena sambutan ulang tahun JTLM ke-10 dan sambutan Hari Laut Sedunia 2017.

Pemuliharaan ekosistem terumbu karang yang diadakan itu juga mendapat pengiktirafan restorasi karang dalam Malaysia Book Of Record.

Selain di perairan Pulau Redang, program itu juga turut diadakan di enam pusat Taman Laut iaitu di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, Pulau Tinggi di Johor, Pulau Tioman, Pahang, Pulau Payar, Kedah dan di taman laut Wilayah Persekutuan Labuan.

Program mengikat anak terumbu karang itu mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan yang lain seperti pengusaha pelancongan, pengusaha selam.

Berita Harian X