Jumaat, 28 Julai 2017 | 3:07pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain (tengah) melihat tukun tiruan konkrit jenis`Kuboid` yang tempatkan di perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat. - Foto Mohd Rafi Mamat

Tukun tiruan di perairan Kuantan

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menempatkan 23 unit tukun tiruan konkrit berharga RM278,600 dengan setiap satu seberat lima tan di perairan Chempaka, Cherok Paloh dan Pantai Sepat di sini.

Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain, berkata tukun tiruan itu berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning dan kembung, selain udang dan sotong.

Beliau berkata, kajian mendapati pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tukun berkenaan habitat baharu selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan di kawasan terbabit.

Katanya, jarak tukun tiruan dengan pantai di tiga kawasan terbabit ialah kira-kira lima batu nautika dan kedalaman laut lebih 10 meter, manakala setiap tukun berada selang dua meter antara satu sama lain.

"Selain dijadikan tempat pembiakan pelbagai jenis ikan, tukun tiruan konkrit ini turut berfungsi sebagai penghalang atau penyekat aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan di perairan negeri.

"Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah manakala tali penarik turut putus.

"Saya yakin selepas ini aktiviti pukat tunda membabitkan nelayan asing di perairan daerah dapat dikekang," katanya selepas melihat tukun tiruan yang siap untuk dilepaskan ke laut, hari ini.

Adnan berkata, lapan unit tukun tiruan ditempatkan di perairan Chempaka dan Cherok Paloh manakala tujuh unit lagi di Pantai Sepat.

"Kali terakhir kita menempatkan tukun tiruan ialah pada 2010 apabila 18 unit tukun jenis tiga segi (Tetrapod) ditempatkan di perairan Cherok Paloh.

"Tukun tiruan yang ditempatkan di tiga perairan daerah ini diharap dapat menambah pendapatan nelayan tempatan yang memancing," katanya.

Berita Harian X