Khamis, 20 Julai 2017 | 4:02pm
'Linopot' makanan tradisi Kinabalu dari suku kaum Dusun Liwan Ranau yang dipamerkan pada Majlis perasmian Makanan Tradisional Sabah di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. - Foto Edmund Samunting
ROSMAWATI (kiri) dan Haslinah Pilog, 53, (dua kiri) dari suku kaum Dusun Liwan Ranau menghidangkan "Linopot" makanan tradisi Kinabalu kepada Penolong Pegawai Daerah Penampang Henry Idol (tiga kanan) dan Presiden Junior Chamber International (JCI) Penampang Oliver Galasius, serta tetatmu yang hadir pada Majlis perasmian Makanan Tradisional Sabah di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. - Foto Edmund Samunting

Peluang nikmati makanan tradisi etnik Sabah

PENAMPANG: Nasi dibungkus dengan daun doringin, dinikmati bersama jeruk ikan serta rebung dan jantung pisang rebus yang dicicah sambal bawang Ranau adalah juadah tradisi Dusun Liwan yang menjadi tarikan pada Festival Makanan Tradisi Sabah 2017, hari ini.

Festival berlangsung di Pusat Kebudayaan Penampang di sini, adalah antara pengisian Program Tugu Budaya Etnik Sabah anjuran Lembaga Budaya Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan budaya, selain mempromosikan kebudayaan tempatan.

Turut menjadi tarikan ialah linopot, iaitu nasi dibungkus dengan daun yang terkenal dalam masyarakat Kadazandusun, selain ambuyat, jeruk bambangan dan sinalau daging (daging salai).

Peserta festival, Rosmawati Sutian, 42, berkata beliau menyediakan lebih 15 jenis juadah makanan tradisi suku kaum Dusun Liwan, Ranau untuk dicuba oleh pengunjung.

Antaranya Linabok Putih (nasi daun), Linatok Do Mundok (ubi kayu rebus), Bosou Sada (jeruk ikan), Manuk Pinarasakan (ayam ampap), Soko Om Tuntui (rebung dan jantung pisang rebus) dan Sada Bawang Pinarasakan (ikan ampap).

Rosaini berkata, penyediaan semua hidangan terbabit tidak mengambil masa lama kerana semua bahan mudah didapati, selain cepat dimasak.

ROSMAWATI (kiri) dan Haslinah Pilog, 53, (kanan) menunjukkan "Linopot" makanan tradisi Kinabalu dari suku kaum Dusun Liwan Ranau pada Majlis perasmian Makanan Tradisional Sabah di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang. - Foto Edmund Samunting

"Saya dan beberapa rakan memang sudah biasa menyertai festival seperti ini kerana mahu memperkenalkan makanan tradisi kami kepada masyarakat tempatan dan luar.

"Kami percaya penyertaan dalam festival atau program budaya seperti ini mampu memberi pendedahan berkaitan makanan tradisi, sekali gus mengangkat budaya sesuatu suku kaum," katanya ketika ditemui selepas perasmian festival itu.

Turut diadakan sepanjang festival enam hari sehingga Ahad ini itu adalah Pertandingan Tarian Rakyat Tempatan dan Pameran Kraftangan Etnik Sabah.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Penampang, Hendry Idol, berkata makanan tradisi Sabah mempunyai keunikan dan boleh dijadikan antara produk budaya.

"Sabah mempunyai kepelbagaian kaum di setiap daerah dan pastinya memiliki variasi makanan tradisi yang menarik. Ini kelebihan yang kita miliki dan seharusnya digunakan untuk memperkenalkan adat dan budaya Sabah ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X