Selasa, 18 Julai 2017 | 12:06pm

PERKESO dekati lebih 7,000 pemandu teksi

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor akan bergerak aktif mendekati kira-kira 7,642 pemandu teksi di seluruh negeri dalam usaha mempromosikan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Timbalan Pengarahnya, Jamalluddin Mohammad, berkata pihaknya akan agresif mempromosikan skim baharu itu berikutan masih ramai pemandu teksi yang masih belum maklum mengenai pelaksanaannya.

Katanya, selain perkhidmatan teksi, Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri itu juga terbuka kepada individu yang menjalankan perkhidmatan Uber dan Grab Car.

"Bermula dari Jun sehingga kini, hanya seramai 96 pemandu teksi, Uber dan Grab Car yang sudah berdaftar dan mencarum menerusi skim ini, mungkin ia masih di peringkat baharu dan ramai masih belum maklum mengenainya.

"Kita (PERKESO Johor) tidak meletakkan sasaran tetapi berharap lebih ramai pemandu teksi, Uber dan Grab Car dapat berdaftar dan memanfaatkan skim perlindungan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis memperkenalkan dan taklimat Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di Wisma PERKESO di sini, hari ini.

Jamalluddin berkata, semua pemandu teksi, Uber dan Grab Car boleh mendaftar secara individu menggunakan portal iPERKESO selain boleh membuat pembayaran menggunakan 'Financial Process Exchange' (FPX) di portal berkenaan. 

"Kadar caruman berdasarkan empat pilihan pendapatan diinsurankan iaitu bagi pendapatan RM1,050 sebanyak caruman dikenakan RM157.20 setahun, RM1,550 (RM232.80), RM2,950 (RM442.80) dan RM3,950 (RM592.80).

"Antara faedah disediakan termasuk perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Pengurusan Mayat serta kemudahan pinjaman pendidikan," katanya.

Berita Harian X