TASEK GELUGOR: Dana pembangunan kepada Ahli Parlimen wajar diagih secara adil, sama ada mereka bersama kerajaan mahupun pembangkang, demi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad pada sidang media bersama berkata, peruntukan itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya untuk menjaga kebajikan rakyat kawasan mereka.
Wan Saiful berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan ada diskriminasi di antara dana kepada Ahli Parlimen kerajaan dan mereka yang daripada Perikatan Nasional (PN).
"Kita faham bahawa dalam kerajaan terdapat parti-parti yang sentiasa cuba memastikan pesaing politik mereka dapat dilemahkan.
"Tetapi seboleh-bolehnya janganlah sehingga menyebabkan ia memberi kesan negatif kepada rakyat. Apatah lagi dana ini bukan digunakan Ahli Parlimen terbabit, sebaliknya untuk rakyat," katanya.
Terdahulu, Wan Saiful dan Siti Mastura ditemui ketika mengadakan sesi pertemuan bersama nelayan di Jeti Nelayan Padang Benggali, di sini.
Sementara itu, Siti Mastura berkata, sebagai Ahli Parlimen baharu, peruntukan pembangunan amat penting bagi membolehkannya terus melaksanakan kebajikan untuk rakyat di kawasannya.
"Kita Ahli Parlimen membabitkan semua rakyat dengan tidak memilih kroni dan sebagainya.
"Kita nakkan hak dan keadilan kita. Tambahan pula, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) juga menyatakan mengenai keadilan dan kesaksamaan.
"Apa yang dicakapkan tolong buktikan dengan baik. Peruntukan ini bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk rakyat. Jika dapat banyak, kita akan terus berikan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pada tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan negara.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan peruntukan untuk Ahli Parlimen dikurangkan lebih 65 peratus, daripada RM3.8 juga kepada RM1.3 juta tahun ini.