Sabtu, 4 Februari 2023 | 2:04pm

Hasni tawar diri jawatan Naib Presiden UMNO

JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, pada pemilihan parti 2023 tidak lama lagi.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas Menteri Besar Johor mengumumkan hasratnya bertanding Naib Presiden UMNO selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Katanya, beliau menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan kerana masih mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti itu.

"Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini kerana itu sahaja jawatan (tertinggi) yang dibenarkan ditandingi.

"Saya percaya ramai tokoh lain termasuk penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan pertahan dan bertanding jawatan itu.

"Atas semangat untuk terus meyumbamg bakti kepada parti pada semua peringkat, maka saya tawarkan diri untuk bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian serta digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, selepas menjawat jawatan itu sejak 2018.

Penggugurannya diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada mesyuarat bulanan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tempat Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu diambil alih Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Semalam, Mohamed Khaled dilaporkan mengesahkan akan mempertahan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.

Dua lagi penyandang Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.

Ditanya ura-ura hampir 10 pemimpin dijangka menawarkan diri mempertahan dan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Hasni berkata, itu membuktikan parti masih menjadi wadah utama perjuangan politik.yang diyakini.

"Dikatakan ada 10 penjuru pertandingan jawatan Naib Presiden membuktikan walau apa jua dikata orang terhadap UMNO termasuk ditolak masyarakat dan tidak relevan, namun ia terus jadi pilihan.

"Saya melihat ramai pemimpin yang tampil untuk tawar diri itu adalah petanda positif untuk parti dan beri gambaran pimpinan UMNO tidak tinggalkan perjuangan parti.

"Walau apa jua dikata terhadap UMNO, saya masih yakin parti mampu bangkit dan jadi wadah perjuangan pada agama, masyarakat dan negara," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Hasni selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Ketua UMNO Bahagian Pontian, Hasni selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor, hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X